Sorry, your browser doesn't support Java(tm).


Ketaatan sebenar hanya kepada Allah dan Rasul

"WAHAI hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepada segala perintah Allah dan tinggalkan segala larangan Allah supaya kamu memperolehi kejayaan. Marilah kita mendengar firman Allah S.W.T. di dalam al-Quranul Karim dari Surah al-Kahfi ayat 28 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mematuhi orang yang kami lalaikan hatinya daripada (mematuhi) peringatan kami dan mengikut hawa nafsunya. Dan adalah kelakuannya melampaui batas." Sesungguhnya di dalam hidup ini kita tidak dapat melepaskan diri daripada memberi perintah dan diperintah. Cuma yang menjadi pertimbangannya ialah suatu perintah yang dikeluarkan itu patut atau tidak, dan menepati kehendak syarak atau tidak. Selagi perintah tersebut keluar daripada mulut manusia biasa, pertimbangan tersebut wajib dilakukan, melainkan perintah yang datang daripada Allah SWT dan Rasulullah S.A.W.

Suruhan yang tidak boleh disanggah dan pertikaikan hanyalah perintah Allah SWT. Setiap kali Allah menyuruh hamba Allah dengan satu perintah, maka Hamba Allah itu tidak ada pilihan melainkan melakukan perintah itu dengan penuh ikhlas dan semaksima yang mampu. Allah S.W.T. tidak sesekali memerintahkan hamba-Nya dengan satu perintah yang tidak mampu dilakukan kerana firman Allah dari surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud: "Allah tidak mentaklifkan (membebankan) seseorang melainkan menurut kemampuan seseorang."

Oleh itu setiap perintah Allah pasti membawa kebaikan kepada orang yang melaksanakan sama ada di dunia atau di akhirat. Sementara segala larangan Allah S.W.T. pasti pula membawa mudharat di dunia dan di akhirat.

Firman Allah dari surah al-Fath ayat 16 yang bermaksud: "Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah), Allah akan mengurniakan kepada kamu dengan balasan yang baik (di dunia dan di akhirat), dan kalau kamu berpaling engkar seperti keingkaran kamu dahulu, nescaya Allah akan menyiksa kamu dengan seksaan yang tidak terperi sakitnya."

Sesungguhnya tidak ada untungnya melawan perintah Allah S.W.T., bahkan kerugian jugalah yang terpaksa ditanggung oleh manusia. Orang-orang yang degil dan terus menderhakai Allah S.W.T. dengan tidak mempedulikan perintah dan larangannya, seperti meninggalkan sembahyang, menderhaka kepada ibu bapa, mengkhianati amanah dan tanggungjawab, menyesatkan manusia daripada jalan Allah SWT dan lain-lain akan mendapat dosa dan dimasukkan ke dalam neraka sekiranya tidak diampun oleh Allah S.W.T. Firman Allah dari Surah an-Nisa’ ayat 41 yang bermaksud: "Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasulullah, dan melampaui batas-batas syariatnya, akan dimasukkannya ke dalam api neraka, berkekalanlah ia di dalamnya, dan baginya azab yang menghinakan."

Sesudah manusia mentaati Allah dan Rasulullah, mereka pula diperintah mentaati perintah manusia, termasuklah pemerintah, ibu bapa, ulama’, ketua dan seterusnya. Sungguhpun begitu, ketaatan kepada sesama manusia tidaklah mutlak sifatnya. Ini bermakna ada perintah yang wajib ditaati dan ada perintah yang haram ditaati. Jelaslah di sini bahawa ketaatan kepada sesama manusia menjadi wajib apabila suruhan–nya itu selari dengan kehendak dan tuntutan syariat Allah S.W.T.

Apabila suruhan itu menyimpang daripada landasan syariat Allah maka pada masa itu tidak lagi menjadi wajib, bahkan berdosa pula jika dituruti seperti suruhan melakukan rasuah, membela dan menyokong golongan yang batil, menyertai kumpulan ahli maksiat dan sebagainya. Sabda Rasulullah S.A.W. dari Riwayat al-Bukhari yang bermaksud: "Maka apabila disuruh dengan perkara maksiat, tidak harus lagi dengar dan taat."

Oleh itu seorang Islam wajib patuh kepada perintah ulama’. Seorang rakyat wajib patuh kepada pemerintah. Seorang isteri wajib patuh kepada suami dan seorang anak wajib patuh kepada ibu bapa. Kepatuhan itu wajib selagi perintah tersebut tidak berlawanan dengan syariat Allah S.W.T.

Firman Allah dari Surah an-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul, dan orang-orang yang berkuasa di kalangan kamu. Maka sekiranya kamu berselisihan di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan Rasulullah (al-Quran dan al-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Itulah lebih baik bagi kamu dan lebih elok kesudahannya."

........................................
29 September 2001

>>Arkib Tazkirah<<