Oleh : myhaizad (myhaizad@yahoo.com)
MAKSUD "sabar" dalam konteks amalan batin ialah
menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang
gelora atau kegemparan hati atau tekanan jiwa
atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa
marah atau berontak, resah- gelisah, tidak rela,
sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada
pengalaman menghadapi kesusahan, ketidak-selesaan atau
sesuatu keadaan yang tidak disukai atau tidak
diingini.
Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan, iaitu:
* tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat
kepada Allah;
* menahan diri daripada melakukan maksiat atau
kemungkaran;
* memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia,
nafsu dan syaitan;
* tenang / teguh hati menghadapi cubaan atau musibat.
Sabar yang demikian itu adalah suatu tuntutan dalam
agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadat
itu didirikan di atas sabar, kerana dalam
mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menanggung
kepayahan dan pengorbanan.
Malah, dalam segala lapangan, kita perlu bersabar dan
menangani segala kesukaran dan rintangan yang
dihadapi. Orang yang gagal bersabar tidak akan
tercapai matlamat dan manfaat ibadatnya.
Antara tujuan kita disuruh mempertahankan kesabaran
itu ialah:
Pertama, supaya dapat mengerjakan ibadat dengan
tenteram dan dapat mencapai kesempurnaan dan
seterusnya mencapai matlamatnya. Jika tidak bersabar,
tekanan dan ekoran daripada pelbagai kesukaran atau
daripada padah pelbagai musibat menjadikan kita
keluh-kesah, lalu kehilangan punca kekusutan dan
pertimbangan. Keadaan ini tentulah akan mengganggu
konsentrasi dan penghayatan dalam kerja ibadat,
khususnya. Kadang-kadang sampai tidak dapat
meneruskannya.
Kedua, untuk mencapai kejayaan (kebajikan dunia dan
akhirat).
Antara firman Allah Taala tentang hal ini ialah:
"Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang
memberi pertunjuk dengan perintah kami ketika mereka
bersabar". (QS. 32:24); "Mereka itulah orang-orang
yang dibalas (dikurniakan) bilik (martabat yang tinggi
di syurga) kerana mereka bersabar (menjunjung taat
kepada Allah), dan mereka dialu-alukan di dalamnya
(syurga) dengan penghormatan dan ucapan salam
kesejahteraan (oleh para malaikat)". (QS. 25:75);
"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu dicukupkan
ganjaran pahala mereka tanpa batas". (QS.
39:10);
Allah Taala menganjurkan kita supaya bersabar.
Firman-Nya (mafhumnya): "Hai orang-orang yang beriman,
bersabarlah kamu (melakukan taat dan menghadapi
musibat), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah
kewaspadaan serta siap siaga dan bertakwalah kepada
Allah agar kamu beruntung (merebut syurga dan bebas
dari neraka). (QS. 3:200).
Apabila seseorang itu berjaya mempertahankan
kesabarannya dalam keempat-empat keadaan tersebut di
atas, maka tercapailah darjat istiqamah dan
taat dengan mendapat ganjaran pahalanya yang besar.
Orang itu tidak akan terjatuh ke jurang maksiat.
Saiyidina Ali Abu Talib k.a.w pernah bermadah,
maksudnya: Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku
juga ke atas diri mu, tetapi engkau dikurniakan
ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar pun, takdir
tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa.
DALAM konteks menghadapi ujian (qadhak) atau musibat
atau mala petaka, seseorang hamba Allah itu, insya
Allah, akan berjaya mengekalkan kesabarannya , jikalau
dia sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran
tentang hakikat atau hikmat musibat itu, atau jika
hamba Allah itu sentiasa menaruh sangkaan baik
terhadap Allah Taala. Malah, dengan yang demikian,
kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh.
Sebagai perbandingan tentang hakikat musibat itu, kita
katakan ada seorang bapa yang melarang keras anaknya
memakan sejenis makanan yang amat digemari oleh
anaknya itu. Sebaliknya sang bapa itu memaksa anaknya
memakan makanan biasa daripada bahan yang murah,
walaupun dia cukup mampu membeli makanan istimewa yang
menjadai kegemaran anaknya itu. Apakah penerimaan atau
reaksi sang anak terhadap tindakan bapanya itu?
Dan apakah kata kita terhadap sang bapa itu?
Mungkin ramai antara kita akan mengatakan sang bapa
itu kedekut, bakhil,tidak bertimbangrasa dan
sebagainya. Akan tetapi kita tidak harus menuduh
sebarangan kepada sang bapa itu sebelum kita tahu apa
tujuan dia bertindak demikian. Kita harus mencari
sebab-musababnya.
Inilah tindakan wajar orang yang bersabar. Demikianlah
antara cara kita berhadapan dengan keadaan yang tidak
menyenangkan kita atau apabila menerima cubaan atau
musibat yang ditakdirkan oleh Allah Taala ke atas
diri kita. Kita tidak harus terus melenting marah atau
kesal mengikut arus perasaan atau rangsangan nafsu dan
syaitan, kerana kita tidak tahu rahsia hakikat dan
hikmat di sebalik takdir itu.
Bandingannya, katakan kita tahu, tujuan sang bapa
tersebut bertindak demikian adalah kerana anaknya itu
sedang mengidap suatu penyakit yang mengikut doktor,
sang anak itu akan menghadapi bahaya apabila memakan
makanan kegemarannya itu.
Sekarang apa kata kita? Tidakkah tuduhan-tuduhan
terhadap sang bapa tadi tergugur dengan sendirinya?
Dan, sang anak itu pula, apa bila mengetahui
tujuan bapanya itu, apakah wajar memarahi bapanya atau
berkecil hati atau menyesali tindakan bapanya itu?
Sekarang tentulah kita akan mengatakan, sang bapa itu
adalah seorang bapa yang bertanggungjawab dan anaknya
pula tidak sepatutnya menyesali tindakan bapanya yang
demikian. Katakan lagi, sang bapa membawa anaknya itu
ke hospital, lalu ditahan di wad hospital itu.
Maka itu terpenjaralah sang anak di hospital, terpaksa
berpisah dengan keluarga dan kawan-kawanya. Selain itu
dia terpaksa minum dan menelan ubat-ubat yang pahit
dan disuntik. Rawatan seterunya ialah pembedahan.
Pada zahirnya, sang anak itu menderita terseksa,
tetapi apabila diyakini, bahawa 'seksaan' itu adalah
untuk menyelamatkannya daripada ancaman dan
seksaan sebenar yang berpanjangan daripada penyakit
yang dihidapinya itu, maka 'seksaan' sementara itu
seharusnya diterima dengan hati terbuka, penuh rela,
tenang, dan sabar.
Demikianlah semestinya penerimaan kita terhadap
musibat atau ujian drpd Allah Taala. Sebenarnya
penyakit itu sendiri merupakan suatu cubaan atau
musibah. Melalui penyakit, kita diuji oleh Allah Taala
sejauh mana kesabaran dan keimanan kita, sejauh mana
dan bagaimana usaha atau ikhtiar kita merawatinya,
sama ada dengan cara yang bersendikan tawakal dan
tafwid atau melibatkan perbuatan syirik, yakni
bergantung kepada yang lain daripada Allah dan
melakukan perkara-perkara mungkar yang lain.
Dan, kalau ditakdirkan usaha rawatan itu gagal dan
penyakit itu bertambah tenat, maka itu adalah ujian
yang lebih besar, khususnya kepada pengidap penyakit
itu. Kalau penyakit itu akhirnya membawa maut, maka
ujian itu melibatkan keluarga pula. Hikmat dan hakikat
di sebalik apa yang ditakdirkan Allah itu, sama ada
yang baik ataupun yang buruk, kita tidak tahu.
Sebab itu kita perlu bersabar menerima dan
menanggungnya. Kita sebagai hamba Allah hendaklah
menghadapinya dengan hati yang tenang, penuh kerelaan,
penuh kesabaran; di samping berikhtiar mengatasinya
dengan seberapa daya mengikut kemampuan kita sebagai
manusia, hamba Allah.
Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa
menyedari, bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan
atau musibat itu adalah di bawah takdir Allah Taala
yang maha berkuasa. Ketetapan kadar itu tidak
bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu
atau terkemudian.
Dan, untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu
pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa
kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan
dan pahala yang disimpan khas oleh Allah Taala.
Demikianlah, kesabaran itu merupakan ubat yang paling
pahit tetapi paling mujarrab.
Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa
manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat
daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya
sesaat, tetapi manisnya berpanjangan. Wallahu a'lam.
=====
Al-Quran (Surah Al- Baqarah) Ayat 159
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang
telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan
petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada
manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat
oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."
__________________________________________________
Firman Allah swt,
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar
berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati
supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati
dengan kesabaran." Surah Al-Ashr
Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."
........................................
12 Disember 2001