Sorry, your browser doesn't support Java(tm).


MEMASTIKAN KEMULIAAN MANUSIA BERTERUSAN

Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak sekali-kali hendak menghina manusia didataran Mashyar dengan sejuta kesengsaraan, kecuali apabila manusia melupakan kemuliaan yg dikurniakan oleh Allah semasa hidup didunia dahulu, Tuhan juga tidak berhasrat untuk melepaskan kemarahan-Nya seperti yg berlaku dihari Mashyar, kecuali apabila manusia melupakan kasih sayang–Nya semasa didunia dahulu.

Allah Ta’ala memperjelaskan tentang kemuliaan yang telah dikurniakan kepada anak-anak Adam sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Isra ayat 70:..yang bermaksud…

“Dan sesungguhnya telah kami muliakan anank-anak (keturunan) Adam, Kami angkut mereka didataran dan lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”.

Dijelaskan juga sifat kasih sayang Allah dengan firman-Nya didalam hadith qudsi yang berbunyi:..yang bermaksud…. “Bahawa kasih sayang-Ku mengatasi kemarahan-Ku”.

Telah terbukti kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya iaitu Allah SWT memberikan ganjaran pahala sepuluh ganda (malah ada yg seratus kali ganda dan juga hingga tujuh ratus kali ganda) bagi satu kebajikan yg dilakukan oleh seorang mukmin, sebaliknya Allah SWT hanya memberikan satu dosa kepada satu kejahatan yg dilakukan oleh seseorang itu. Ini bererti jika jumlah kebaikan dan kejahatan yg dilakukan itu sama, namun jumlah ganjaran pahala tetap mengatasi jumlah dosa.

Firman Allah SWT didalam surah al-Baqarah ayat 261….yang bermaksud…..

“Perumpamaan orang-orang yg menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dgn sebutir benih yg menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ; terdapat seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yg dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Tuhan sengaja menggandakan setiap kebaikan yg dilakukan oleh manusia sehingga tujuh ratus kali ganda semata-mata kerana Tuhan mengkehendaki agar manusia merasai betapa kasih sayang–Nya tetap mendahului kemarahan-Nya, bagi memberi peluang agar manusia tidak menghadapi kesengsaraan di hari Mashyar.

Lantaran itu Allah SWT meminimakan dosa manusia bagi satu kesalahan hanya berbalas satu dosa (kecuali dosa syiri’), inilah bukti bahawa Allah SWT telah menyediakan formula yg terbaik, supaya manusia akan sentiasa berat timbangan amal kebajikannya, agar terhindar dari kemurkaan Allah di akhirat kelak.

Apabila dimashyar didapati manusia timbangan dosanya lebih berat dari pahala, terbukti bahawa mereka telah mensia-siakan anugerah kasih sayang Allah yg tidak terhingga itu. Di mashyar manusia tidak boleh menyalahkan orang lain, sebaliknya mereka terpaksa menyalahkan diri sendiri atas kecuaian itu. Firman Allah didalam surah Al-Baqarah ayat 22; yang bermaksud………..

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang membersihkan diri”.

Manusia meskipun telah dikurniakan akal, namun keupayaan akal yg terbatas tidak mampu menyingkap dengan mendalam rahsia ketuhanan. Oleh yang demikian, Tuhan dengan rahmat-Nya telah menghantar para rasul yang membawa syariat Allah berteraskan aqidah tauhid, bagi menyelamatkan manusia dari terjerumus ke lembah syiri’ dan bertuhankan nafsu.Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 119;..yang bermaksud………

“Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan…….

Dalam susunan ayat itu Allah menyatakan berita gembira terlebih dahulu,kemudiannya barulah peringatan yg menggerunkan. Ini bererti bahawa Allah mengkehendaki manusia merasa bahagia dengan kehadiran Rasulullah s.a.w yg membawa ajaran yg menyelamatkan manusia, tetapi sekiranya manusia tidak acuh terhadap Utusan Allah, sudah pasti dia akan melakukan perkara-perkara yg membawa kepada dosa. Oleh yang demikian, kehadiran Utusan Allah itu pasti akan memberikan peringatan atau khabar yang menakutkan, bahawa yang setimpal akan dirasai oleh golongan ingkar ini.

Allah SWT memuliakan manusia dengan mengutus nabi dan para rasul yang ditugaskan membawa ajaran kebenaran, kerana akal semata-mata tidak menjadikan manusia mulia tanpa bimbingan wahyu. Dengan itu manusia dianjurkan agar beriman dan mengikuti ajaran yang benar itu., supaya manusia dapat mengekalkan kemuliaan hingga ke akhirat, untuk menikmati balasan gembira dengan penuh kebahagiaan di dalam syurga, dan terlepas dari menerima kehinaan dengan menerima azab neraka di akhirat kelak seperti yang dikehendaki oleh para rasul itu. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud….

“Demi diriku yg berada didalam genggaman-Nya sesungguhnya di akhirat kelak Allah SWT akan menemui setiap orang dan bertanya kepada mereka ; Bukankah Aku telah memuliakan kamu? Dan Aku telah mengurniakan pasangan hidup kamu? Dan telah Aku kerahkan semua benda, tumbuh-tumbuhan dan binatang untuk menjadi kemudahan kamu? Kemudian manusia ketika itu berkata ;Bahkan sesungguhnya aku mengaku wahai Tuhan .Kemudian Tuhan bertanya lagi; Adakah kamu pernah terfikir bahawa kamu akan bertemu Aku dihari Mashyar ini? Dan manusia mengaku ;Tidak wahai Tuhan ,sesungguhnya aku tidak pernah berfikir untuk bertemu Engkau.Kemudian Tuhan berfirman ; “Pada hari ini Aku akan melupakan kamu sebagaimana kamu melupakan Aku dahulu”

Hadith tersebut membayangkan bahawa Allah SWT telah menyediakan segala keperluan yg secukupnya untuk menjadikan manusia mampu menjaga taraf kemuliaan, justeru itu manusia ditanya semula oleh Allah;Tidakkah kamu telah dimuliakan ? Justeru manusia tidak dapat menafikan soalan tersebut, lantas mereka mengakuinya.Kerana para rasul telah dihantar kepada mereka untuk mengajar mereka tentang perkara yang mereka tidak ketahui.

Malah Allah SWT telah mengangkat dikalangan manusia para pemimpin dan para pembesar kau bagi menjaga kepentingan mereka didunia, manusia tidak dibiarkan tanpa pemimpin seperti anak-anak ayam kehilangan ibunya. Manusia tidak pernah dilupakan oleh Pencipta-Nya, tetapi mereka telah melupakan segala anugerah Allah yang amat berharga itu.

Tuhan menjadikan planet bumi suatu tempat yg paling nyaman bagi kehidupan manusia, dilengkapi dengan matahari sebagai pelita alam serta udara segar, dan juga bulan bintang untuk pedoman dan perhitungan hari. Ditambah pula dengan kekayaan hasil galian, seperti minyak, uranium, emas, besi, bijih timah, intan berlian, dan sebagainya. Kesemuanya merupakan bahan penting untuk survival hidup manusia, bagi menghasilkan bahan-bahan ciptaan melalui penciptaan peralatan canggih untuk kepentingan hidup.

Selain itu bumi merupakan tanah subur untuk pertanian, binatang ternakan, dan segala macam haiwan boleh dimanfaatkan,lautan yg kaya dengan sumber makanan berkhasiat, dan juga kaya dengan kemudahan pengangkutan untuk pengagihan rezeki bagi kesenangan hidup manusia.

Betapa pemurahnya kurniaan Allah yg meliputi keperluan rohani iaitu anugerah ilmu berasaskan wahyu yg dengannya bukan sahaja ia dapat membezakan dengan haiwan yg lain, malah dengan ilmu tersebut dapat mengangkat manusia ke tingkat yg tertinggi berbanding makhluk ciptaan Allah yg lainnya. Yang paling bernilai ialah ilmu berasaskan wahyu itu menjadi asas membina ketaqwaan yg tinggi, supaya hasilnya akan dikecapi oleh manusia didalam syurga kelak.

Tetapi apabila anugerah Allah itu dipersia-sia oleh manusia, sehingga manusia lupa hari pertemuannya dengan Allah SWT, maka akibatnya bahawa Allah SWT akan melupakan manusia dihari Mahsyar, dan membiarkan manusia dilanda kesengsaraan yang sangat dashyat.



........................................
28 Disember 2001

>>Arkib Tazkirah<<