Sorry, your browser doesn't support Java(tm).


Mengajar umat melakukan ikhtiar

Tazkirah Oleh
TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT

ALLAH SWT mengutuskan Nabi s.a.w. kepada manusia khususnya menerusi peristiwa hijrah itu, ialah hendak menunjukkan bagaimana Tuhan mentadbir dunia ini. Dalam banyak-banyak cara ialah melalui kaedah 'setiap sesuatu kejadian melalui sebab', justeru itu Nabi s.a.w. telah menggunakan semua cara, kaedah dan sistem melibatkan kebendaan yang dapat difahami dimengerti oleh akal manusia.

Sememangnya Nabi s.a.w. berhijrah tidak sama dengan cara Umar Al-Khattab berhijrah. Walaupun Nabi keluar dari Makkah bersama Abu Bakar As-Siddiq namun tidak bererti Nabi berhijrah mengikut cara Abu Bakar. Umar dengan caranya dan Nabi s.a.w. tetap dengan cara seorang Nabi dan Rasul Allah yang akan menjadi panduan dan rujukan umatnya untuk melaksanakan syariat Islam.

Nabi s.a.w. meninggalkan rumahnya pada malam hari, kerana pada malam yang gelap itu merupakan tabir yang dapat melindungi Nabi s.a.w. dari perhatian musyrikin Quraisy. Jika keluar pada siang hari, maka tindakannya itu tidak menggambarkan usaha ikhtiar untuk mengelak dari dikesan musuh, sedangkan kafir Quraisy sedang memperhebat usaha untuk memberkas dan membunuh Nabi s.a.w..

Sebagai manusia, Nabi s.a.w. menggunakan kemampuan berfikir setakat yang termampu. Hingga semua cara dan ikhtiar telah diambil kira dan dipergunakan sepenuhnya,

Sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah, Nabi s.a.w. dengan ditemani Abu Bakar menyembunyikan diri di gua Tsur. Berada di gua Tsur bukan untuk rehat, tetapi Nabi s.a.w. mengambil masa yang munasabah sekira-kira kafir Quraisy merasa jenuh mencari dan memburu, sehingga mereka membuat kesimpulan bahawa Nabi dan sahabatnya telah jauh meninggalkan kota Makkah.

Suatu jangka masa yang menjadikan kafir Quraisy cukup letih, sehingga mereka membuat keputusan tiada gunanya lagi memburu Muhammad s.a.w., sesungguhnya mereka yakin orang yang diburunya sudah tiada lagi di sekitar Makkah. Ketika itu barulah Nabi s.a.w. dan Abu Bakar meninggalkan gua Tsur menuju ke Madinah.

Semasa beberapa hari di gua Tsur, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari maklumat kegiatan kafir Quraisy Makkah. Untuk tujuan itu kerjasama dari Abdullah, putera Abu Bakar diperlukan. Nabi s.a.w. memerintahkan supaya mendapatkan sebanyak mungkin maklumat penting pergerakan musuh, sebagai panduan untuk mengatur strategi bagi menyusun langkah mengelak pertembungan dengan musuh.

Pergerakan Abdullah putera Abu Bakar yang setiap malam mengunjungi Nabi s.a.w. dan ayahandanya Abu Bakar, perlu dilindungi dari dikesan oleh musuh. Untuk menghapuskan kesan jejak kaki Abdullah yang menuju ke gua Tsur itu, diperlukan khidmat pengembala kambing Abu Bakar yang dikerahkan supaya membawa kambing-kambing ternakan mereka di sekitar gua tersebut. Jika jejak kaki Abdullah tidak dihapus dengan ratusan jejak binatang ternak itu, nescaya akan memudahkan puak kafir Quraisy menemui tempat persembunyian Nabi s.a.w..

Ketika Nabi s.a.w. hendak meninggalkan rumah, baginda meneruskan usaha yang berasaskan 'sebab-musabbab', bahawa saidina Ali bin Abi Talib telah diarah oleh Nabi s.a.w. supaya menggantikan tidur ditempat pembaringan baginda. Jika ketika itu kafir Quraisy mengintai dari celah dinding, mereka akan melihat seolah-olah Nabi s.a.w. sedang tidur ditempatnya. Usaha itu akan menjadi sebab tercetusnya anggapan dikepala puak Quraisy, bahawa Nabi s.a.w. masih berada di dalam rumahnya.

Semuanya menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. telah melakukan semua cara dan kaedah serta helah untuk menyelamatkan diri, supaya dicontohi oleh umatnya kelak. Seorang Nabi bukan sekadar duduk berdoa kepada Allah SWT agar dirinya diselamatkan dari segala bahaya, tetapi di samping berdoa baginda telah melaksanakan semua usaha ikhtiar. Setelah segala usaha ikhtiar dilaksanakan, maka terserah kepada Allah untuk menolong hamba-Nya.

Ali bin Abi Talib yang diminta menggantikan tidur di pembaringan Nabi s.a.w., bukan tidur sebagai tidur biasa. Sebaliknya tidur yang boleh membahayakan jiwanya, jika nasib tidak menyebelahinya maka kemungkinan Ali bin Abi Talib akan terbunuh, jika musuh menyerbu masuk dan membunuh orang yang disangkanya Nabi yang sedang tidur lena. Pada zahirnya saidina Ali tidur, namun pada hakikatnya beliau memperjuangkan Islam.

Setelah keluar dari rumah, Nabi s.a.w. yakin jika baginda terus berjalan menuju ke Madinah mengikut jalan raya biasa, nescaya jejak langkah akan dapat dipintas oleh musuhnya. Oleh itu Nabi s.a.w. berfikir bahawa mesti ada usaha ikhtiar untuk mencari jalan alternatif yang jarang dilalui oleh orang awam. Untuk itu memerlukan seorang pemandu jalan yang betul-betul arif, supaya perjalanan Nabi s.a.w. seterusnya bebas dari ancaman musuh.

Untuk tujuan tersebut, Nabi s.a.w. telah mengupah seorang bernama Abdullah bin Uraiqit. Meskipun lelaki itu bernama 'Abdullah', tetapi dia sebenarnya seorang kafir musyrik. Nabi s.a.w. telah menyelidiki sikap dan watak lelaki musyrik itu, setelah Nabi s.a.w. merasa yakin bahawa Abdullah Uraiqit bukan seorang pembelot, dia sekadar bekerja untuk mendapatkan upah. Justeru itu Nabi s.a.w. telah memberi kepercayaan kepada Abdullah Uraiqit sebagai juru pandu jalan alternatif menuju ke Madinah.

Nabi s.a.w. telah menggunakan khidmat orang kafir, setelah baginda benar-benar yakin bahawa lelaki musyrik itu tidak berlaku khianat. Abdullah diminta menunjukkan jalan-jalan rahsia yang tidak terlintas oleh musyrikin Quraisy bahawa Nabi s.a.w. akan melalui jalan-jalan tersebut.

Untuk tujuan menyelamatkan diri dari ancaman Quraisy Makkah, terlalu banyak perancangan usaha ikhtiar dan strategi yang diambil oleh Nabi s.a.w.. Semua langkah yang diambil sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang Nabi dan Rasul yang bakal menjadi contoh teladan oleh umatnya di kemudian hari. Nabi s.a.w. tidak melakukan usaha ikhtiar yang tidak boleh atau tidak terdaya dilakukan oleh manusia lain.

Mengapa Nabi s.a.w. menggunakan segala usaha ikhtiar yang bersifat maddiyyah? Tujuannya ialah untuk mengajar kaum muslimin seluruhnya, bahawa menggunakan kebendaan dan usaha ikhtiar berasaskan sebab-musabbab itu tidak bercanggah dengan keimanan kepada Allah SWT. Tuhan menjadikan alam maddiyyah adalah untuk menjadi sebab kepada keperluan kehidupan manusia di muka bumi.

Tidak wajar menganggap, bahawa Nabi s.a.w. bersembunyi di gua kerana takut kepada ancaman kafir Quraisy. Sememangnya Abu Bakar merasa cemas ketika melihat kaki orang-orang Quraisy yang mundar-mandir di depan gua, jika mereka membongkok dan menjengah ke dalam lubang gua nescaya dapat melihat Nabi dan sahabatnya berada di dalam. Tetapi ketika itu Nabi telah mententeramkan rasa gelisah Abu Bakar dengan sabdanya yang bermaksud: "Janganlah cemas wahai Abu bakar. Walaupun kita berdua di dalam gua, namun ada pihak yang ketiga bersama kita, iaitu Allah SWT."

Jika Nabi s.a.w. sendiri merasa takut ketika orang-orang Quraisy yang memburunya sedang berlegar di pintu gua, maka bagaimanakah orang yang sedang takut hendak mententeramkan orang lain yang dalam ketakutan? Nabi tidak pernah merasa takut kerana seorang Nabi adalah utusan Allah, yang menjalankan kerja-kerja Tuhan. Justeru itu Nabi s.a.w. tidak takut kerana yakin bahawa Allah SWT pasti menyelamatkan Rasul-Nya dan agama Islam yang dibawanya.

........................................
14 Jun 2001

>>Arkib Tazkirah<<