UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Pembangkang Terengganu hasut peneroka Felda Neram 1

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHMAD

KEMAMAN: Pembangkang Terengganu menghasut kira-kiar 570 peneroka Felda Neram 1 di sini supaya tidak menerima Surat Hak Milik Tanah di felda itu tetapi bagaimanapun hasutan itu disambut dingin dari peneroka berkenaan. Serentak itu Kerajaan Negeri berjaya menunaikan sebahagian lagi janji-janji manifesto partinya dalam pilihan raya umum lalu untuk mengagihkan tanah kepada rakyat.

Kini, para peneroka di Felda Neram 1 boleh berbangga serta berterima kasih kepada kerajaan yang telah menamatkan penantian selama 25 tahun bagi memiliki geran tanah masing-masing. Namun begitu, parti pembangkang Terengganu bersikap prejudis terhadap kerajaan serta sengaja mahu menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat.

Pihak pembangkang cuba menghasut 570 orang peneroka terbabit agar tidak keluar ke Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di Dewan Serbaguna Felda Neram 1, baru-baru ini.

Tinjauan Warta menemui wakil-wakil blok serta para peserta terbabit dan mendapati hanya segelintir rakyat terutama penyokong kuat parti itu termakan dengan hasutan tersebut. Wakil Blok 17, Encik Abdullah Che Wil, 53, berkata 14 orang peserta tidak hadir menerima suratan hak milik tanah dari kerajaan. Katanya, peneroka yang tidak hadir kerana termakan dengan hasutan pemimpin parti pembangkang.

"Pemimpin Umno mendakwa Kerajaan Negeri akan membahagikan kepada mereka geran tanah palsu," jelasnya. Saudara Wahid Mat Noor yang mewakili Blok 16 seramai 22 orang peserta kecewa dengan rakan-rakannya. Katanya, hanya 9 orang hadir ke majlis penyerahan suratan hak milik dan 13 peserta lagi mengambil sikap tidak hadir. "Mereka percayakan dakyah dan fitnah para pemimpin pembangkang yang khianat itu," ujarnya.

Encik Abdul Manan Mustaffa, 52, wakil blok 23 menyifatkan peserta peneroka yang tidak mengambil geran hak milik masing-masing sebagai tidak mengenang budi kerajaan. Katanya, dalam soal hak milik tanah bukan masalah kepartian tetapi menjadi hak setiap orang tanpa mengira fahaman politik. "Kita sendiri boleh melihat dan berfikir tanpa perlu mengikut telunjuk pemimpin pembangkang itu," ujar beliau yang turut menerima hak milik tanah itu.

Sementara itu Wakil Blok 8, Encik Bidin Jahar, 52 yang menetap di Felda Neram 1 sejak tahun 1976 sebagai peneroka ladang kelapa sawit berkata: "Pak cik bersyukur kepada Allah SWT dan Kerajaan Negeri kerana 25 tahun kami menunggu untuk memiliki geran hak milik ini sekarang baru dapat."

Wakil Blok 2, Encik Mat Harun Mat Hassan, 52, berkata seramai 10 orang dari pesertanya tidak hadir untuk menerima geran hak milik masing-masing. Katanya, di Felda Neram 1 ini mempunyai 24 blok dan setiap satu blok disertai oleh 22 hingga 24 orang peserta. "Saya amat dukacita dengan tindakan para peneroka yang tidak hadir menerima suratan hak milik masing-masing hari ini," ujarnya dengan nada sedih.

Sementara itu, para peserta peneroka yang ditemui menimbulkan pelbagai reaksi. Encik Tengah Ismail, 52, peserta blok 7 melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T. dan kerajaan sekarang. Encik Mat Jusoh Muda,52, peserta blok 3 mengesahkan yang Kerajaan Negeri menyerahkan surat hak milik tanah yang sah serta diperakui.

"Saya menerima geran yang sah dan tidak meragukan lagi," ujarnya yang terkilan dengan dakyah pembangkang. Menurut sumber penduduk terbabit, sebelum itu beberapa orang pemimpin parti pembangkang mengadakan ceramah di felda tersebut serta menghasut peneroka agar tidak menerima penyerahan suratan hak milik masing-masing.

Pengerusi Pekebun Kecil Felda dari blok 5, Encik Abdullah Awang Teh, 53, kesal dengan sikap prejudis pihak pembangkang yang menghasut rakyat membenci kerajaan. "Mereka hasut penduduk supaya tidak menerima suratan milik tanah yang didakwa palsu," ujarnya. Rakannya, Abdul Ghani Omar, 55, mendakwa alasan bekas kerajaan BN tidak dapat menyediakan geran hak milik peneroka kerana ketiadaan kertas.

"Satu alasan politik yang cuba memperbodohkan rakyat di sini," ujarnya. Saudara Engku Tolah Engku Omar, 44, peserta blok 20 mendakwa penyokong pembangkang diugut oleh pemimpin mereka agar tidak menerima surat hak milik tanah tersebut. "Peneroka diugut akan ditarik balik semula program pemberian wang ehsan oleh Umno," jelasnya.

Encik Mat Yaman Yaakob, 56, peserta blok 10 berbangga dengan kecekapan kerajaan negeri. Katanya, dalam masa dua tahun kerajaan mampu menyelesaikan surat hak milik tanah yang ditunggu sejak puluhan tahun. Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Abdul Muttalib Embong mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang keuzuran.

Turut hadir di majlis tersebut beberapa orang Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen serta wakil-wakil rakyat.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 18 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com