Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Ahli-ahli Parlimen harus lebih serius mengenai tugas-tugas Parlimen

Ahli-ahli Parlimen harus lebih serius mengenai tugas-tugas Parlimen mereka kerana jika tidak, adalah lebih baik mesyuarat Parlimen yang sedang berlangsung digulungkan serta-merta supaya semua Ahli Parlimen boleh pulang ke rumah untuk keselesaaan mereka

Ahli-ahli Parlimen harus lebih serius mengenai tugas-tugas Parlimen mereka kerana jika tidak, adalah lebih baik mesyuarat Parlimen yang sedang berlangsung digulungkan serta-merta supaya semua Ahli Parlimen boleh pulang ke rumah untuk keselesaaan mereka.

Adalah amat merisaukan untuk melihat Parlimen diasingkan dan dipinggirkan daripada isu-isu yang penting dan mustahak yang melibatkan rakyat dan negara, seperti skandal pelbagai peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) dan keberperlembagaan dan kewajaran perlantikan Datuk Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara yang baru.

Terdapatnya ketandusan kemahuan politik dan keseriusan sama sekali pada pihak Parlimen untuk menangani kebimbangan orang ramai, baik berhubung hasil siasatan polis mengenai kebakaran Dewan Tunku Kanselor (DTC) Universiti Malaya pada 29 Jun ataupun siri kebakaran gereja baru-baru ini di beberapa bahagian negara.

Parliamen juga mengelak daripada tanggungjawabnya untuk menumpukan perhatian terhadap laporan-laporan yang mana ia telah mengenakan tugas statutori untuk dibentangkan di Parlimen, seperti dua laporan Suhakam mengenai hak asasi manusia – laporan tahunan Suhakam pertama dan laporan berhubung kebebasan berhimpun – sedangkan sepatutnya terdapat perbahasan khas mengenai laporan-laporan Suhakam itu, termasuk laporan tentang kejadian Lebuh Raya Kesas dengan hasil siasatan Suhakam mengenai perlanggaran hak asasi manusia yang meluas oleh pihak polis.

Mengikuti teladan buruk yang dipamerkan oleh barisan depan Menteri, yang memegang rekod Parlimen Komanwel bagi ketidakhadiran di Parlimen, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sudah begitu masak dengan sikap malas di Parlimen sehinggakan mereka mendapati adalah suatu perbuatan yang agak mustahil untuk memastikan terdapatnya kuorum di dalam Dewan, dengan sesetengah daripada senior di kalangan mereka yang bergegas marah apabila sikap berat tulang sedemikian ditonjolkan oleh media melalui kiraan harian kehadiran di Parlimen.

Sandiwara Parlimen ini mencapai kemuncak baru apabila hanya enam Ahli Parlimen dibenarkan untuk membahas, 10 minit setiap orang, anggaran belanjawan 2002 setiap Kementerian sungguhpun beratus-ratus juta, berbilion-bilion, bahkan berpuluh-puluh bilion ringgit wang awam terlibat – dan tempoh 18 hari yang diperuntukkan oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk kajian dan penelitian cadangan belanjawan tahun berikut Kementerian mengikut Kementerian secara terperinci pada peringkat jawatankuasa dipendekkan kepada 10 hari!

Keadaan hal ehwal Parlimen yang menghibakan ini paling jelas dicerminkan oleh laman web Parlimen. Sebagai orang yang membuat desakan sehingga laman web Parlimen diwujudkan pada 21 Mei 1996, saya telah mengecamnya sebagai suatu “keaiban nasional” disebabkan ketandusan imaginasi, interaktiviti dan kreativiti sama sekali sewaktu suatu perbahasan Parlimen enam bulan selepas penubuhannya, dan tidak terdapat apa-apa sebab bagi saya mengubah pendapat saya enam tahun selepasnya.

Dalam dua tahun lepas, satu-satunya keistimewaan yang cuba dibekalkan oleh laman web Parlimen ialah Hansard, iaitu rekod harian perbahasan dan prosiding Parlimen.

Suatu lawatan ke laman web Parlimen untuk mendapatkan Hansard mesyuarat Dewan Rakyat yang sedang berlangsung hanya akan menunjukkan Hansard setakat 21 November 2001, iaitu dua minggu lalu – padahal laman web Parlimen di negara-negara lain yang serius mengenai teknologi maklumat dan komunikasi menyediakan Hansard harian dengan cepat dalam tempoh 24 jam.

Bilakah Parlimen akan memaparkan Hansard bagi baki mesyuarat Parlimen, yang akan bersidang sehingga Selasa depan, di laman webnya? Tidak sehingga selepas Hari Raya, atau kemungkinan sekali tahun depan, menurut suatu nota di laman web tersebut yang berbunyi:

“Hansard Dewan Rakyat akan dikeluarkan/dipaparkan selepas Hari Raya. Harap maklum.”

Ini merupakan suatu komentar yang tragik mengenai kekurangan fikiran IT dan budaya pentadbiran Parlimen sama sekali, serta Ahli-ahli Parlimen dan kerajaan – yang tidak memberikan petanda baik kepada kejayaan aspirasi nasional untuk mencapai peningkatan besar dan meletakkan Malaysia dalam kedudukan paling depan revolusi maklumat dunia!

Dalam baki lima mesyuaratnya sebelum Dewan Rakyat memprorog sehingga sesi Parlimen yang baru pada bulan Mac depan, adakah Ahli-ahli Parlimen bersedia memperbaiki imej Parlimen mereka yang koyak-rabak dan mempamerkan keseriusan, tujuan dan komitmen mereka?

Oleh : Lim Kit Siang






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com