Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Laporan tentang Penghormatan kepada Usman Awang

RAMAI MEMBERI PENGHORMATAN KEPADA USMAN AWANG

Usman Awang meninggal di Hospital Pantai pada jam 12.35 dinihari, dibawa pulang ke rumah pukul 2.30 pagi, dimandikan jam 11.00, disembahyangkan selepas zuhur di Balai Islam Kampung Tunku, dan selamat dikebumikan jam 2.30 petang di tanah perkuburan Bukit Kiara. Beratus-ratus orang datang ke rumah, balai Islam atau perkuburan untuk memberikan penghormatan terakhir.

Saudara mara dan sahabat handai, bukan dari Kuala Lumpur dan Selangor saja, bahkan jauh dari Kuala Sedili, Johor, hingga Pulau Pinang datang juga.

Kebanyakan mereka ialah sasterawan, seniman, wartawan serta ilmuan daripada pelbagai kaum. Antara mereka Tan Sri A. Samad Ismail, Said Zahari, Tajuddin Kahar, SN A. Samad Said, SN Shahnon Ahmad, SN Abdullah Hussein, Tan Sri Ismail Hussein, Prof Mohamad Hj Salleh, Prof Taib Osman, Prof Abu Bakar Hamid, Prof Tunku Shamsul, Prof Zainal Wahid, Prof K.S. Jomo, Datuk Omar Hashim, Datuk Abdullah Ahmad, Datuk Kadir Jasin, Datuk Johan Jaafar, Datuk Rahman Mydin, Jamil Sulong, Rahim Razali, Faridah Merican, Rubiah Suparman, Ras Adiba, Dang Suria, dan ramai lagi.

Tidak kurang pula sahabat-sahabat rapat beliau dari masyarakat Tionghua dan India, seperti Tan Kai Hee, C.C. Yong, tokoh-tokoh dari Suqiu, Dewan Perhimpunan Cina, serta wakil Kedutaan Tiongkok, dan Datuk Shanmugalingam.

Sahabat paling rapat beliau Dr Rajakumar berada di luar negeri, tetapi dua orang anak perempuannya turut hadir.

Para pemimpin tertinggi serta anggota parti-parti alternatif ramai yang hadir. Antara mereka ialah Datuk Fadzil Noor, Dr Wan Azizah Ismail, Dr Syed Hsin Ali, Lim Kit Siang, Datuk Kamarudin Jaafar, AzminAli, Saari Bahari, Dr Tan Seng Giaw, Dr Sanusi Osman, Rustam Sani, Omar Othman dan Hassan Karim. Ada juga beberapa tokoh UMNO dan Gerakan yang kelihatan, termasuk Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, Datuk Kerk Choo Ting dan Mahathir Khir.

Usman seorang tokoh agung sastera yang telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan kesusasteraan Melayu dan Malaysia. Beliau paling terkenal sebagai penyajak, walaupun menghasilkan juga drama, cerpen dan esei. Sungguhpun tidak terlibat dengan politik, beliau mempunyai keprihatinan politik yang sangat mendalam. Karya-karyanya banyak menyuarakan tema tentang penjajahan, kemiskinan, penindasan, kezaliman, keadilan, kemajuan, keamanan serta kebajikan.

Beliau telah menulis beberapa buah sajak yang menyanjung tokoh-tokoh seperti Bustamam, Hasnul Hadi, Said Zahari, Rajakumar dan juga Mahathir Mohamad.

Akan tetapi, beberapa bulan sebelum meninggal dunia, beliau bersama Dino S.S. menerbitkan sebuah antologi puisi dari 20 orang penyajak terkenal, bertemakan keadilan, dan diberi judul "Dari Derita Bangsa". Terletak di penghujung antologi ini ialah dua buah sajak Usman bertajuk "Jentayu Yang Luka", ditujukan untuk Wan Azizah dan "Saudara Anwar Ibrahim", sempena hari lahir beliau.

Setahu saya ini adalah dua buah sajak terakhir ciptaan Usman. Walaupun beliau diberi banyak hadiah serta penghormatan oleh pihak pemerintah, namun beliau memberikan sanjungan akhirnya kepada dua orang pemimpin keadilan. Di bawah ini saya peturun sepenuh dua sajak tersebut.

JENTAYU YANG LUKA
(Untuk Wan Azizah)

Tiba-tiba dia bangkit
Dengan kelembutan yang tetap sopan
Berdiri di barisan paling hadapan
Sebagai pahlawan keadilan

Lama dulu wajahnya tersembunyi
Di belakang pemimpin berani sang suami
Mengintip dengan mata kecilnya
Segala tingkah dan senyuman pura-pura
Si pengampu yang bermuka dua
Si penyembah yang berjiwa hamba
Si pengemis segenggam laba

Dia adalah jentayu yang luka
Terbang mengepak menyonsong gumpalan awan
Mencakar menjeritkan kebebasan dan keadilan
Mencabar dunia yang semakin kejam.

SUDARA ANWAR IBRAHIM
(Selamat Hari Lahir)

Palu telah dijatuhkan
Lama sebelum tanganmu terikat ke belakang
Kau gegar aras kayangan
Kekuasaan yang mula tergoncang

Sekali tanganmu terancung ke udara
Sejuta teriakan menyambutnya
Sekali suaramu terpancar ke angkasa
Sejuta gelombang gema menyahutnya

Demi sumpah perjuangan
Demi maruah keadilan
Tabah dan gagah
Tidak pernah menyerah.

Demi sumpah perjuangan
Demi maruah keadilan
Tabah dan gagah
Tidak pernah menyerah.

Laporan ringkas dari Syed Husin






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 1 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com