UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Patah tumbuh barisan pembangkang

Oleh : Hassan Karim

Barisan pembangkang telah wujud di negara ini sejak sebelum merdeka lagi. Ketika itu badan politik di Malaya bersatu menentang penjajahan British dan Jepun. Yang menjadi isu pokok ialah bagaimana mahu menyatukan rakyat dan menentang kuasa asing bagi mencapai kemerdekaan.

Selepas merdeka, wujud barisan pembangkang yang dipanggil Barisan Sosialis, terdiri daripada Parti Rakyat Malaya, Parti Buruh Malaya dan Parti Perhimpunan Kebangsaan. Barisan pembangkang ini memberi saingan terhadap Parti Perikatan yang memerintah yang didokong oleh gabungan tiga parti -- Umno, MCA dan MIC.

Barisan Sosialis itu memperjuangkan isu mewujudkan keadilan sosial dalam sebuah negara Malaya yang demokratik, bebas dan bersatu. Ia juga membawa politik kiri atau sosialis, manakala Perikatan yang pro-Barat dianggap kanan dan kapitalis.

Barisan menentang penjajahan British dipatahkan dengan penggunaan undang-undang Darurat dan kekuatan bersenjata. Ramai ditangkap dan dipenjara dan ramai juga yang dibunuh. Selepas merdeka, undang-undang darurat itu diubah menjadi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Barisan Sosialis telah dipatahkan oleh Perikatan pada akhir tahun 50-an dan awal 60-an, sama ada di dalam Parlimen atau di luar Parlimen, dengan menggunakan cara yang sama dipakai oleh penjajah British.

Pada tahun 1963, ramai pemimpin Barisan Sosialis ditahan di bawah ISA. Malah Parti Buruh Malaya hampir lumpuh, bukan sahaja kerana ramai pemimpinnya ditahan di bawah ISA tetapi juga kerana parti itu telah disusupi oleh agen-agen Cawangan Khas. Parti Buruh mengambil keputusan dibubarkan tetapi Parti Rakyat meneruskan perjuangan walaupun Ahmad Boestamam, Tajuddin Kahar dan ramai lagi pemimpin Parti Rakyat ditahan di bawah ISA.

Tidak bersetuju berkerjasama

Sejak tumbangnya Barisan Sosialis, kerajaan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) berkuasa di Malaysia dari tahun 1970 hingga 1990 tanpa dicabar oleh sebarang gabungan pembangkang. Naman begitu pada 1986, satu usaha digerakkan menjelang pilihanraya umum pada tahun yang sama untuk mewujudkan barisan pembangkang.

Disebalik keghairahan itu, rancangan mewujudkann barisan pembangkang yang dikenali sebagai Harakah Keadilan (HAK), telah musnah pada saat-saat akhir kerana DAP tidak bersetuju bekerjasama dengan PAS. Apa yang dicapai hanyalah kerjasama pilihanraya antara PAS dan PRM - dua parti utama yang berusaha keras untuk menubuhkan barisan pembangkang menjelang pilihanraya 1986 itu.

Pada tahun 1987 dan 1988, Umno berpecah selepas Tengku Razaleigh Hamzah mencabar jawatan presiden yang disandang oleh Dr Mahathir Mohamad. Ini membawa kepada tertubuhnya Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh. Ketika itu barulah muncul barisan pembangkang berwibawa untuk mencabar BN. Dalam pilihanraya umum 1990, BN ditentang serentak oleh dua barisan pembangkang -- Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Parti Semangat 46, PRM, DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Barisan Progresif India (IPF) bergabung dalam Gagasan Rakyat. Manakala PAS, Berjasa, Hamim dan Parti Semangat 46 menyertai APU. Mengapa wujud dua barisan pembangkang? Ini terjadi kerana PAS dan DAP tidak mahu menganggotai barisan pembangkang yang sama. Jadi Parti Semangat 46 terpaksa menjadi jambatan penghubung. Bagaimanapun, Gagasan Rakyat dan APU telah memberi pukulan hebat terhadap BN dalam pilihanraya umum 1990. Kerajaan BN di Kelantan tumbang di tangan APU.

Tetapi Gagasan Rakyat dan APU tidak bertahan lama. Apabila Parti Semangat 46 gagal memimpin Gagasan Rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan, ia menjadi semakin tertekan. Semangat 46 mahu melawan Umno untuk menjadi lebih “Melayu dan lebih feudal”. Nama parti diubah kepada Parti Melayu Semangat 46, menyebabkan pendirian Melayu serta feudalnya semakin melampaui batas yang dapat diterima oleh DAP.

Tidak lama menjelang pilihanraya umum 1995, DAP keluar meninggalkan Gagasan Rakyat manakala PBS dan IPF lebih awal lagi meninggalkan barisan pembangkang itu. Yang tinggal ialah Semangat 46 dan PRM. Apabila Semangat 46 dibubarkan dan ahli-ahlinya kembali ke pangkuan Umno, maka tinggal PRM untuk meneruskan semangat Gagasan Rakyat untuk mencabar BN.

Berusaha keras

PRM mewarisi sejarah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang terlibat dalam setiap barisan bersatu dan barisan pembangkang sejak sebelum merdeka sehinggalah sekarang. Ia mempunyai rekod sebagai satu-satunya parti politik yang berusaha keras untuk menyatukan kekuatan pembangkang sebagai alternatif terhadap BN. Betapa setianya PRM terhadap Gagasan Rakyat, maka begitu juga setianya PRM terhadap Barisan Alternatif (BA).

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dan pemimpin lain DAP jangan berharap PRM akan sebegitu mudah meninggalkan PAS dan BA, semata-mata untuk menyertai barisan baru pembangkang yang dipelopori DAP dengan jolokan nama barisan pembangkang sekular Malaysia.

Memang benar PRM sebuah parti pelbagai kaum dan pelbagai agama yang komited terhadap perjuangan menubuhkan sebuah negara yang bersatu dan tiada perkauman. Tetapi rasa-rasanya, PRM tidak akan terlalu bodoh untuk menyekutukan dirinya dengan gabungan yang terang-terang dan lantang mahu mewujudkan Malaysia yang sekular.

Pilihan yang terbaik sebenarnya bagi PRM dan lain-lain parti pembangkang termasuk DAP ialah BA, ‘Manifesto Bersama BA’ dalam pilihanraya umum lalu masih relevan untuk sekarang dan masa hadapan. Manifesto itu tentunya tidak sempurna dan banyak kelemahan, tetapi ia boleh dikemaskinikan. Ia masih merupakan dokumen politik terbaik pernah wujud untuk memberi haluan dan panduan bagi satu barisan alternatif menggantikan BN. Ia jauh lebih baik daripada Manifesto Gagasan Rakyat yang bertajuk 'Selamatkan Malaysia" pada 1990.

‘Manifesto Bersama BA’ tidak disebut untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Ia juga tidak menyebut untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular. Tenaga pemikir yang mendraf dan melakar ‘Manifesto Bersama BA’ itu berhempas pulas memerah otak untuk merangka dasar yang boleh dipersetujui bersama oleh PAS, DAP, PRM dan Keadilan. Akhirnya mereka bersetuju.

Inilah kali pertama PAS dan DAP dapat menerima satu dokumen bersama untuk menjadi landasan perjuangan menentang BN. Kegagalan usaha menggabungkan PAS dan DAP ke dalam sebuah barisan pembangkang pada 1986 dan 1990, akhirnya menjadi realiti pada pilihanraya umum 1999.

Ia berjaya kerana semua pihak bersetuju mencari seberapa banyak titik persefahaman, bukannya titik perbezaan. Semuanya bersetuju menfokuskan kepada isu-isu pokok, iaitu menentang rasuah, kronisme, dan penumpuan kuasa politik dan ekonomi, serta memperjuangkan perpaduan rakyat yang tulen, demokrasi, akauntabiliti dan keadilan sosial.

Perubahan tulen

BA bukan satu barisan berasaskan ideologi seperti Barisan Sosialis. BA juga bukan anti-Mahathir seperti Gagasan Rakyat. BA juga bukan berasaskan politik Melayu-Islam seperti APU. Sebaliknya BA adalah gabungan segala kekuatan politik yang mahu membawa perubahan tulen di Malaysia.

Bukan mudah menubuhkan BA. Semua pihak - PAS, DAP, Keadilan dan PRM - ada saham masing-masing dalam usaha mewujudkannya. Bagaimanapun, pilihanraya umum1995 menyaksikan gabungan parti pembangkang membawa hal masing-masing, yang membolehkan BN berkuasa semula.

Selepas pilihanraya umum 1995, PRM menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang melalui siri pertemuan dan perbincangan isu semasa negara. Tugas ini diserahkan kepada Angkatan Pemuda PRM. Walaupun sambutan terhadapnya adalah pelbagai, namun begitu, banyak NGO yang mengambil serius dan menghadiri setiap pertemuan.

Sebaliknya, DAP dan PAS hanya menghantar wakil mereka yang bukan "heavyweight" dalam siri-siri perbincangan itu. Jika pemimpin DAP dan PAS sama-sama hadir, pemimpin PRM terpaksa duduk ditengah-tengah untuk memisahkan mereka. Pemimpin dari PAS dan DAP ketika itu amat takut jika lensa kamera ditumpukan ke arah mereka. Mereka mengelak bergambar bersebelahan. Begitulah yang telah berlaku pada waktu itu.

Tetapi rasa segan silu di antara PAS dan DAP “hilang” apabila berlaku peristiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan Umno, kemudiannya ditangkap dan diikuti peristiwa mata lebamnya. Begitu juga dengan pertemuan terakhir anjuran Angkatan Pemuda PRM, beberapa hari selepas pemecatan Anwar, tiba-tiba mendapat sokongan luar biasa, sehingga begitu ramai aktivis NGO hadir di sebuah hotel sederhana di Petaling Jaya. Tindakan Anwar melancarkan gerakan reformasi telah mencetuskan satu percikan api yang membakar semangat juang setiap orang yang inginkan perubahan pada September 1998 itu.

Peristiwa itu juga telah membentuk Gagasan Demokrasi Rakyat (Gagasan), diikuti pembentukan ADIL yang didokong oleh penyokong Anwar. Apabila Anwar dan ramai penyokongnya ditahan di bawah ISA, maka tertubuhkan GERAK pimpinan PAS. Berikutan peristiwa mata lebam dan gerakan reformasi di jalanraya bermula dan mendapat sambutan, ditambah pula dengan pilihanraya umum hampir menjelang, badan-badan yang dipanggil Gagasan Demokrasi Rakyat, ADIL dan GERAK kemudiannya bersatu ke dalam Barisan Alternatif (BA).

Tidak dapat disangkal apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim menjadi pemangkin kepada penyatuan pelbagai kekuatan politik di luar pemerintah yang mahu melihat perubahan dan keadilan di wujudkan di bumi Malaysia ini. Adakah kerana kini isu Anwar tidak lagi hangat dan memikat seperti seperti dahulu, dan Anwar kesunyian merengkok dalam Penjara Sungai Buloh, maka ramai mulai lupa ikrar masing-masing untuk menumbangkan BN dan membawa reformasi tulen di Malaysia?

Perjuangan baru bermula

Perjuangan BA sebenarnya baru bermula. Malaysia tidak memerlukan satu lagi barisan seperti yang diura-urakan oleh DAP. Sebaliknya BA perlu dimantap dan diperkukuhkan garis perjuangannya, organisasi dan jentera penerangannya. Ia umpama sebuah perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu dijalinkan dengan kasih sayang yang sejati, rasa “merajuk dan kemudiannya pergi membawa diri” boleh dihindari.

Begitu juga halnya dengan pemimpin PAS yang tidak cermat dan berhemat dalam membuat pernyataan umum atau akhbar sehingga menimbulkan masalah dengan DAP dan lain-lain parti dalam BA. Ini juga perlu ditegur. PAS perlu memikul sebahagian “beban salah” sehingga DAP keluar dari Barisan Alternatif.

Sebenarnya bukan mudah merangka ‘Manifesto Bersama BA’. Lebih sukar lagi untuk menjayakan BA supaya terus kuat menjadi satu barisan pembangkang yang benar-benar berwibawa menggantikan BN. Tetapi dengan satu dua kenyataan media dan pendirian yang kurang cermat dan berhikmah, segala usaha menyatukan kekuatan pembangkang itu boleh musnah dan gagal. Inilah apa yang sebenarnya berlaku pada hari ini.

--------------------------------------------------------------------------------
HASSAN KARIM ialah pemimpin PRM.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 Disember 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com