Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


3 Adegan Pengalaman Menarik dengan Tok Guru Nik Aziz (Akhir)

Adegan Dua

Beberapa hari selepas itu, Menteri Besar membuat lawatan ke Tok Bali, sebuah pekan kecil di pinggir pantai dalam jajahan Pasir Putih. Mengikut jadual rasmi, rombongan Menteri Besar akan bertolak dari Kota Darulnaim (kompleks pejabat MB dan SUK) pada pukul 8.45 pagi. Tetapi seperti biasa saya akan meminta nasihat daripada pegawai peribadi MB, yang mesra dengan panggilan Pak Ya.

"Tok Guru pergi terus daripada rumah," kata Pak Ya.

"Pukul berapa?" tanya saya.

"Pukul lapan," jawabnya. "Tok Guru pergi dulu. Kita berjalan perlahan-lahan. Pegawai akan bertolak pukul 8.45."

"Okey, kita jumpa di sana," kata saya.

"Di Tok Bali, Tok Guru berhenti di mana?" tanya saya pula.

"Kita jumpa dekat jambatan," jawab Pak Ya.

Sebut saja jambatan Tok Bali, orang yang pernah ke sana tahulah landmark itu. Sesiapa pun tak akan terlepas, kerana buat masa ini jambatan itu merupakan landmark yang paling menonjol sekali, dan mudah dicari.

Selepas sarapan kami pun bertolak menuju ke Tok Bali, dengan memandu dalam keadaan biasa, tanpa perlu mengejar waktu. Bukankah menteri besar pun, seperti kata Pak Ya, akan berjalan perlahan-lahan!

Tok Bali, mengikut perancangannya, akan dibangunkan menjadi sebuah pusat pendaratan ikan yang terbesar di rantau ini. Itu mengikut perancangan. Maka ada beberapa projek besar dalam perancangan itu. Tetapi hingga hari ini nampaknya perancangan itu masih jauh daripada menjadi kenyataan. Khabarnya inilah tujuan menteri besar membuat lawatan - untuk melihat sendiri mengapa terjadi kelewatan tersebut, dan apakah masalah-masalahnya.

Kami sampai ke jambatan Tok Bali kira-kira pukul 9.00 pagi. Sambil menyeberang jambatan itu kami melihat-lihat sekeliling mencari tanda kehadiran menteri besar.

Tidak kelihatan sebarang tanda, kami pun membelok ke kanan untuk menuju ke sungai di bawah jambatan, dengan harapan ada sudut yang cantik untuk mengambil establishing shot. Cuaca pagi itu memang cantik. Langit cerah membiru.

Sebaik sahaja kami membelok, kelihatan Pak Ya sedang menggawang tangannya memanggil kami. Dan apabila kami menghampiri tempat itu, kelihatan kedai kopi sebuah, yang sederhana sebagai kedai kopi kampung, dan kereta Proton Perdana Menteri Besar terletak di hadapannya.

Rupa-rupanya Tok Guru Menteri Besar sedang minum kopi di restoran kampung, bersama dengan pegawai peribadi dan drebarnya. Aduh, sungguh damainya dia! Duduk bertiga di meja bahagian depan restoran itu, menikmati sarapan sambil menikmati suasana pagi yang segar.

Suasana sungguh tenang. Tidak ramai orang di restoran itu. Hanya ada dua orang lain di meja bahagian dalam kedai. Di luar kedai kelihatan dua ekor kambing sedang berjalan cari makan. Beberapa ekor kucing bermain di bawah meja.

"Makan dulu," kata Tok Guru Menteri Besar, mesra, ketika saya menghampiri.

"Kami dah makan Tok Guru. Nak ambil gambar dulu," jawab saya.

Waktu itu Nasir Jani sibuk mencari sudut yang baik, sambil memberi arahan kepada jurugambar untuk merakamkan adegan yang tidak diduga itu - adegan bonus yang tidak ada di dalam "skrip".

Selesai kami mengambil "gambar" Tok Guru Menteri Besar bersarapan di restoran terbuka di suatu pagi yang indah dan damai itu, barulah para pegawai pun tiba seorang demi seorang, termasuk Timbalan Menteri Besar yang tiba dengan kereta Mercedes.

Adegan Tiga

Hari itu hari terakhir untuk sesi penggambaran kami di Kelantan, buat round yang ketiga dalam projek membuat filem yang kini dirancang akan dinamakan "Seminggu Dalam Kehidupan Tok Guru Nik Aziz". Saya berazam untuk menjadikan juga penggambaran Tok Guru berkebun dan menembak tupai di kebun yang terletak kira-kira 400 meter di belakang rumahnya, hari itu.

Sudah dua kali kami terlepas peluang ini. Hari itu, saya berazam walau apapun saya akan minta Tok Guru supaya bersetuju membantu kerja penggambaran kami. Maksudnya, bersetuju untuk menggalas senapang berjalan ke kebun dan menembak. Cuaca pun nampaknya cantik hari itu. Langit cerah membiru. Tidak ada tanda-tanda akan hujan.

Nik Aziz pergi ke kebun biasanya selepas asar, iaitu selepas membaca Quran sebaik selesai mengimami solat asar di Masjid Pulau Melaka di depan rumahnya.

Ini menteri besar. Kalau dia ada kesempatan pulang awal, dia akan mengimami solat asar di masjidnya, dan selepas itu membaca Quran di sebuah bilik dalam masjid itu, iaitu bilik yang pintunya menjadi laluannya keluar masuk ke masjid.

Memang tidak selalu dia ada kesempatan pulang awal, tetapi pada hari-hari Jumaat dan Sabtu (hari-kerja rasmi Kelantan lima hari seminggu; Jumaat dan Sabtu cuti), kalau dia tidak ke luar daerah, dia akan imam solat asar, dan selepas itu membaca Quran, sendirian. Kesempatan ini juga digunakan orang untuk bertemu dia.

Hari itu ketika dia sedang membaca Quran, saya berharap-harap janganlah ada ramai orang datang nak berjumpa dia, seperti beberapa hari sebelum itu. Kalau ramai orang datang berjumpa dia, habislah peluang kami untuk mengajak dia pergi menembak.

Alhamdulillah, nampaknya tak ada orang yang menunggu kecuali kami. Sebaik saja dia melangkah keluar masjid, saya dan Nasir pun melangkah ke arah dia. Selepas memberi salam dan bersalam, tidak sempat saya memberitahu tujuan kami, Tok Guru sambil melihat jam di tangannya langsung berkata, "Bolehlah, kita pergi."

Dia menyuruh kami menunggu di belakang rumahnya, sementara dia menukar pakaian dan mengambil senapang.

Hari itu oleh kerana ada orang memikul kamera video dan lain-lain peralatan penggambaran mengekori Tok Guru berjalan ke kawasan belukar di belakang rumahnya, maka adalah lima-enam orang budak-budak ikut sama berjalan mengekori beliau menuju ke kebun itu. Biasanya, saya diberitahu, Tok Guru berjalan seorang diri sahaja, dan akan berada di kebunnya kadang-kadang hingga satu jam atau dua jam, seorang diri.

Maka sambil berjalan mengekorinya hari itu saya membayangkan … hari-hari biasa apabila Menteri Besar ini ke kebun, beliau berjalan sendirian tanpa ditemani sesiapa - dan tentulah: tanpa dikawal oleh pengawal keselamatan.

Dan apabila saya sampai ke kebun itu, suasana kawasannya yang seperti berbelukar dan seperti hutan kecil itu - sambil melihat Tok Guru Menteri Besar yang berbadan kecil itu menebas-nebas pohon kecil atau memotong ranting-ranting pokok - saya membayangkan di hari-hari lain apabila dia berbuat demikian bersendirian - 'ah, orang ini memang betul-betul pasrah,' bisik hati kecil saya.

Saya menyatakan perasaan hati saya itu kepada Nasir. Rupanya Nasir pun sedang memikirkan hal yang sama. Dan kemudian apabila Nasir menyatakan rasa keprihatinan kami itu kepada Tok Guru, kata Nasir, Tok Guru senyum mendengarnya.

NOTA: Kami akan mengeluarkan VCD "Seminggu Dalam Kehidupan Tok Guru Nik Aziz" ini , sepanjang 60 minit, dan akan mengedarkannya di pasaran selepas hari raya Idul-Fitr nanti. Sesiapa yang berminat membeli atau menjadi pengedar, sila hubungi Penerbitan Pemuda melalui surat atau telefon/fax 03-40243531 atau 019-3432056 (Zabidi) atau e-mail lutfi_detik@hotmail.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com