Oleh : Jeman Sulaiman, Berita Harian Singapura
MASYARAKAT minoriti di Malaysia kian dihantui dilema kaum yang
dikhuatiri menggugat kedudukan masa depan mereka di negara
itu.
Tanda kebimbangan ini mula mencengkam kaum Cina dan India
Malaysia menyusuli hasil banci penduduk terbaru yang
menunjukkan kadar pertumbuhan mereka kian merosot sejak
beberapa tahun lalu.
Tambahan penduduk majoriti Melayu dan bumiputera pula
menimbulkan tanda tanya segera tentang kemungkinan kedua-dua
kaum minoriti hilang kuasa politik kelak.
Mengikut banci penduduk Malaysia tahun lalu, kadar kelahiran
kaum Cina dan India terus menurun.
Salah satu faktor utama dipercayai penghijarahan meningkat ke
negara lain terutama melibatkan golongan muda kedua-dua kaum
minoriti itu.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, pernah
prihatin akan kehilangan ramai bakat muda Cina dan India
angkara Dasar Ekonomi Baru yang memberi layanan istimewa
kepada kaum bumiputera.
Kerajaan Malaysia membanci penduduk setiap tempoh 10 tahun.
Kali ini, hasil banci mendapati jumlah penduduk Melayu dan
bumiputera lain bertambah 4.5 peratus. Mereka kini membentuk
65.1 peratus daripada 23.27 juta penduduk Malaysia.
Jumlah penduduk Cina pula merosot daripada 28.1 peratus kepada
26.0 peratus, manakala kaum India daripada 7.9 peratus kepada
7.7 peratus.
Kejatuhan jumlah penduduk Cina dan India sejak merdeka dalam
1957 berpotensi menandakan penghakisan pengaruh politik kaum
minoriti.
Kaum Cina selaku kelompok minoriti terbesar dengan 37 peratus
dalam 1957 kini mendapati jumlah mereka merosot sehinggakan
Persatuan Cina Malaysia (MCA) -- parti utama Cina -- cukup
prihatin untuk memastikan kaum itu kekal berpengaruh dan
mengimbangi kuasa politik menerusi kadar kelahiran tinggi.
Berdasarkan perhitungan MCA, kaum Cina mungkin setakat
membentuk 20 peratus penduduk Malaysia menjelang 2020 dan
hanya 13 peratus dalam 2100 jika kadar kelahiran mereka terus
menjunam.
Bimbang kaum merosot
Presiden Kongres India Malaysia (MIC), Datuk Seri S. Samy
Vellu, turut bimbang akan kemerosotan jumlah penduduk kaum
India kerana ia akan mengurangkan suara politik mereka.
Beliau mendakwa kaum India sebelumnya membentuk 10.3 peratus
penduduk Malaysia, sedangkan banci terbaru menunjukkan jumlah
mereka merosot 2.6 peratus. Walaupun beliau mengakui
sebab-sebab sosio-ekonomi mendorong keluarga kecil, merosotnya
jumlah penduduk India bermakna kuasa politik mereka kian
tipis.
Ketua statistik kerajaan, Datuk Shaari Abdul Rahman,
menerangkan pertambahan penduduk bumiputera lebih berpunca
daripada jumlah lebih ramai wanita Melayu berbanding kaum
lain, termasuk tahap kesuburan lebih tinggi dan kecenderungan
keluarga Melayu mempunyai ramai anak.
Banci terbaru juga menunjukkan jumlah umat Islam Malaysia
meningkat daripada 58.6 peratus 10 tahun lalu kepada 60.4
peratus. Agama Buddha mempunyai penganut kedua terbesar (19.2
peratus) dengan diikuti Kristian (9.1 peratus) dan Hindu (6.3
peratus).
Jumlah keseluruhan penduduk Malaysia bertambah daripada 18.38
juta dalam 1991 kepada 23.27 juta sekarang. Perangkaan
penduduk terbaru turut meliputi 1.38 juta orang asing --
termasuk pendatang sah dan haram -- di negara itu ketika banci
tahun lalu.
Jumlah penduduk di kawasan bandar meningkat daripada 50.7
peratus dalam 1991 kepada 62 peratus.
Banci itu mendapati ramai penduduk Malaysia berkahwin lewat,
dengan jumlah golongan bujang meningkat. Bagi lelaki, usia
purata yang berkahwin naik daripada 28.2 tahun dalam 1991
kepada 28.6 tahun. Di kalangan wanita, kenaikan usia kakwin
meningkat daripada 24.7 tahun kepada 25.1 tahun.
Malah, banci kali ini mendedahkan lebih ramai lelaki
berbanding wanita di Malaysia -- 104 lelaki bagi setiap 100
wanita. Trend warga tua juga bertambah, terutama yang berusia
65 tahun dan ke atas -- bertambah daripada 3.7 peratus kepada
3.9 peratus.
Mungkin kerana bimbangkan kejatuhan lanjut penduduk Cina, MCA
menggalakkan usaha menemukan jodoh secara besar-besaran.
Akhbar New Straits Times (NST) melaporkan MCA menubuhkan
'Kelab-Kelab Temu Jodoh' di seluruh negara sejak Julai lalu
bagi menyediakan tempat berkenalan lelaki dan wanita bujang
China.
Perintis kelab itu, Dr Ng Yen Yen, yang juga ketua Pergerakan
Wanita MCA, membayangkan 60 pasangan yang ditemukan akhirnya
berkahwin.
"Kami bercita-cita menganjurkan perkahwinan beramai-ramai
sempena ulang tahun pertama kelab yang bererti meningkatnya
jumlah penduduk kaum Cina," ujarnya.
Beliau menekankan peri pentingnya dari segi politik memastikan
jumlah penduduk kaum Cina terus tinggi. Namun, beliau akur
kejatuhan penduduk Cina tidak wajar dilihat semata-mata isu
kaum, tetapi juga masalah nasional.
"Isu ini melibatkan kepentingan nasional kerana kemerosotan
penduduk Cina bermakna kejatuhan daya produktiviti," katanya.
Lebih membimbangkan kaum minoriti ialah tanggapan meluas
terakhir ini tentang kebangkitan Islam di Malaysia. Walaupun
majoriti penduduk Malaysia umat Islam, agama lain bebas
diamalkan.
Dr Mahathir telah mengulangi jaminan hak bukan Melayu tetap
tidak terancam walaupun Islam berperanan penting di Malaysia.
Beliau mempertahankan dasar kerajaan campuran Barisan Nasional
(BN) yang ditunjangi Umno bagi memastikan semua kaum mendapat
layanan setara.
Dalam pertemuan dengan masyarakat peniaga Cina baru-baru ini,
beliau cuba meyakinkan kaum itu agar tidak gusar oleh
kenyataan kerajaan bahawa Malaysia ialah negara Islam. Dr
Mahathir menasihatkan hak kaum minoriti mengikut perlembagaan
Malaysia tidak mudah dirampas.
"Hak anda tetap terpelihara. Kerajaan tidak berniat
mendiskriminasi bahawa bukan Islam tiada bertempat atau
kebebasan," ujarnya.
Beliau mengingatkan usahawan Cina yang menguasai ekonomi
negara itu supaya terus membantu pemulihan Malaysia dari
kegawatan.
"Selama ini, anda menikmati kemakmuran di Malaysia sebagai
negara Islam. Kerajaan sentiasa bekerjasama rapat dengan
masyarakat Cina," tambahnya.
Dr Mahathir menjelaskan kenyataan kerajaan bahawa Malaysia
diakui sejagat sebagai negara Islam sederhana semata-mata demi
menangkis dakwaan pembangkang Parti Islam (PAS).
Jaminan hak
"Saya harap masyarakat Cina tidak lagi khuatir tentang
kenyataan ini. Usahlah menyangka kerajaan akan membuat sesuatu
yang akan mengikis hak anda," katanya.
Dr Mahathir terpaksa beberapa kali menyatakan bahawa Malaysia
sebuah negara Islam setelah PAS mendakwa kononnya pelaksanaan
sistem Islam oleh kerajaan setakat ini belum mencukupi.
Sebaliknya, beliau menuduh PAS sengaja cuba memperdaya
golongan bukan Islam tanpa menetapkan dengan nyata jenis
pemerintahan Islam sebenar yang dinginkannya.
"Saya syak negara Islam yang diinginkannya serupa ajaran
Taleban di Afghanistan, dengan wanitanya dipaksa tutup dari
kepala hingga ke kaki, dinafikan pendidikan, dan bukan Islam
ditindas," katanya.
PAS kini memerintah dua daripada 13 negeri di Malaysia --
Kelantan dan Terengganu.
Dr Mahathir memberi amaran kerajaan tidak akan teragak-agak
bertindak tegas terhadap pelampau agama kerana tidak mahu
rakyat Malaysia didiskriminasikan serupa di Afghanistan di
bawah Taleban.
"Kerajaan akan menentang habis-habisan golongan yang
menggunakan Islam untuk kepentingan tertentu," katanya.
Beliau yakin kerajaannya telah memerintah Malaysia mengikut
cara Islam yang betul. Perlembagaan Malaysia menetapkan negara
itu sekular walaupun Islam menjadi agama rasmi.
Walaupun pernah berlaku rusuhan kaum paling berdarah dalam
1969, Dr Mahathir dan pemimpin kerajaan telah berupaya
mengimbanginya dengan kepentingan kaum dan agama lain.
Selama 20 tahun berkuasa, Dr Mahathir dan Kerajaan BN
mengutamakan pembangunan ekonomi untuk menjadikan Malaysia
salah sebuah negara moden dan maju di Asia.
"Di Malaysia, semua kaum hidup harmoni dan bekerjasama.
Keadaan ini patut dikekalkan," tegasnya.
Isu kaum dan agama dianggap sensitif di Malaysia yang
penduduknya majmuk.
Terakhir ini, Umno dan PAS bersaing sengit bagi memenangi
sokongan Melayu menjelang pilihan raya umum mendatang, dengan
masing-masing membentangkan visi negara Islam tersendiri bagi
Malaysia.
PAS telah meraih sokongan meningkat di kalangan pengundi
negeri-negeri majoriti Melayu sewaktu pilihan raya umum 1999
dan sering mengulangi ikrarnya untuk menegakkan pemerintahan
Islam di Malaysia jika terpilih berkuasa.
Perjuangan PAS itu telah menyebabkan Parti Tindakan Demokratik
(DAP) yang berteras Cina keluar dari perikatan pembangkang
dalam Barisan Alternatif (BA) yang dikuasai PAS.