Mengikut laporan media, syarikat F & N telah memohon kepada kerajaan untuk
menaikkan harga susu pekat di pasaran dengan 10 peratus atau 20 sen satu
tin. Alasannya ialah kerana kos bertambah dan oleh itu untung berkurang –
dari RM26 juta pada tahun 2000 kepada 11.3 juta sehingga bulan September
2001.
PRM menggesa supaya pihak kerajaan tidak akan menerima permohonan ini.
Pertama, jikalau permohonan ini diterima, banyak lagi syarikat yang sedang
mengalami jumlah untung yang menurun akan memohon supaya harga kawalan bagi
barang keluaran mereka dinaikkan juga. Kesannya buruk kepada rakyat ramai.
Kedua, sedikit hari lagi bulan puasa Ramadan bermula dan sebulan kemudian
orang Islam menyambut hari raya pula. Susu bahan penting untuk membuat
minuman dan kuih-muih. Kenaikan harganya akan menjadi beban, terutama bagi
mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Ketiga, ada kemungkinan harga teh, kopi serta minuman lain yang dijual di
kedai atau restoran akan dinaikkan tanpa kawalan. Apatah lagi dengan
kenaikan harga minyak petrol serta diesel, inflasi pasti tidak akan mudah
dikawal.
PRM berpendapat adalah lebih penting bagi pemerintah melindungi kebajikan
rakyat ramai daripada menjaga laba bagi sebilangan kecil kapitalis.
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
13hb November 2001