Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


MENCARI ASAS KERJASAMA YANG BARU

Oleh S. Husin Ali

Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) keADILan yang berlangsung di Kemaman pada 9-11 haribulan November 2001 telah tamat dengan jaya. Pemilihan pimpinan parti yang diadakan buat kali pertama telah berjalan lancar. Para perwakilan yang hadir menunjukkan kematangan mereka dalam pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pimpinan Pemuda dan pimpinan Wanita.

Selama hampir dua minggu sebelum MAT diadakan, media yang dikuasai BN - terutama yang berbahasa Malaysia – mengeluarkan bermacam-macam berita dan rencana untuk menggambarkan seolah-olah keADILan dirundung malang sangat serius. Mereka mendakwa bukan saja keADILan berpecah, akan tetapi menghadapi usaha kuat kononnya untuk “mengABIMkan” parti itu.

Keputusan pemilihan membuktikan dakwaan media tersebut palsu belaka. Mereka yang dipilih ke dalam pimpinan pusat, pemuda atau wanita, bukan dari satu kelompok saja. Mereka terdiri dari bekas UMNO, NGO, JIM bahkan ABIM juga. Mereka mencerminkan kepelbagaian yang menggabungkan muka lama dengan muka baru, dari tokoh-tokoh Melayu, Cina serta India. Sungguhpun tidak ramai tokoh Tionghua dan India yang terpilih, namun mereka mendapat undi yang tinggi.

Tanda-tanda pada akhir MAT menunjukkan bahawa keADILan akan lebih mantap untuk menghadapi tahun-tahun ke hadapan. Mereka yang bertanding tetapi tidak menang, nampaknya menerima keputusan MAT dan berjanji akan terus memberikan sumbangan tenaga dan idea untuk menjadikan keADILan sebuah parti pelbagai kaum yang lebih kuat bagi memperjuangkan keadilan dan reformasi. Apa yang berlaku pasti mengecewakan media pengampu serta dalang mereka, seperti Zainuddin Mydin, yang berharap serta berusaha agar keADILan pecah-belah sehingga ranap.

Selain pemilihan, satu lagi perkara yang menarik perhatian para perwakilan ialah percantuman antara keADILan dengan PRM. Perkara ini tidak tercatat dalam agenda perhimpunan, akan tetapi ia berkali-kali timbul dalam kempen pemilihan pimpinan dan dalam perbincangan. Dr Wan Azizah, Presiden keADILan menyentuh mengenainya dalam Ucapan Dasar beliau. Pemuda meluluskan usul supaya proses percantuman dipercepat dan Perhimpunan menerima usul ini. Nyata sekali sebahagian besar perwakilan dan pimpinan dari semua peringkat yang hadir mahu percantuman menjadi satu kenyataan.

Kita tahu bahawa kira-kira setengah tahun lalu keADILan dalam satu mesyuarat khas telah menerima pada prinsip percantuman ini. Lebih kurang 64 peratus daripada perwakilan yang hadir memberikan persetujuan mereka. Akan tetapi undi majoriti dua-pertiga tidak diperolehi ketika itu untuk meminda perlembagaan keADILan sesuai dengan perkara-perkara yang telah dipersetujui oleh jawatankuasa perunding PRM-keADILan.

PRM telah menegaskan bahawa percantuman tidak akan berlaku sebelum pindaan perlembagaan itu diterima oleh keADILan. Kini, di bawah pimpinan yang baru dipilih dan dengan usul yang sudah diterima, usaha akan dijalankan untuk mengadakan satu lagi perhimpunan khas bagi meluluskan pindaan perlembagaan. Ada pihak, terutama sekali Pemuda, yang mendesak supaya proses percantuman disegerakan dalam tempoh tiga bulan ini. Tetapi, Presiden keADILan nampaknya tidak keberatan jikalau lambat sedikit, asalkan selamat.

Satu lagi perkara yang muncul sebagai perkara penting, terutama berikutan MAT, ialah mengenai kerjasama di antara parti-parti alternatif. Dalam Ucapan Dasar yang sama, Dr Wan Azizah menyatakan rasa kesalnya DAP telah berundur dari Barisan Alternatif (BA). Beliau mengharapkan DAP akan dapat kembali kepada BA.

Bukan satu perkara yang mudah bagi DAP berbuat demikian. Selagi pemimpin-pemimpin PAS terus menegaskan soal negara Islam dan PAS berada dalam BA, selagi itu DAP tidak akan dapat bersama-sama kembali dalam BA. Memang tidak adil bagi mana-mana parti cuba mendesak supaya parti-parti lain menggugurkan dasar atau matlamat jangka panjang mereka.

DAP tidak meminta PAS menggugurkan Negara Islam, sama seperti PAS tidak menggesa DAP menggugurkan Malaysian Malaysia sebagai matlamat perjuangan mereka. Manifesto Bersama BA – Menuju Ke Arah Masyarakat Adil – telah diterima oleh semua parti alternatif dalam BA sebagai asas perjuangan mereka dalam jangka pendek. Dalam manifesto ini tidak disebut tentang Negara Islam atau Malaysian Malaysia.

KeADILan serta PRM sering menegaskan bahawa manifesto itu masih merupakan asas yang baik bagi kerjasama. Mungkin kini, dua tahun selepas ia digubal untuk pilihanraya pada tahun 1999, terdapat beberapa kekurangan yang harus dibaiki. Malangnya, walaupun PAS telah menerima manifesto bersama itu, beberapa orang pemimpinnya terus bercakap juga tentang perkara-perkara yang terkeluar daripada apa yang disetujui pada jangka pendek dalam manifesto itu.

Isu seperti Hudud dan kedudukan wanita, yang sering ditimbulkan oleh sesetengah pemimpin, tetapi tidak disebut atau tidak selari dengan dasar yang diterima dalam manifesto bersama, menimbulkan kesulitan. Ia menimbulkan kesulitan kepada parti komponen BA yang lain, terutama sekali kepada DAP, yang menerima tekanan lebih kuat daripada masyarakat Cina, khususnya MCA.

Secara peribadi saya memahami mengapa DAP terpaksa berundur dari BA, sebagaimana saya memahami juga mengapa mereka telah berundur dari GAGASAN sebelum pilihanraya 1995 atau pun tidak mahu menyertai Harakah Keadilan (HAK), sungguhpun ia menyertai penuh perbincangan untuk membentuknya pada tahun 1986. Tidak ada parti politik yang ingin menyertai apa-apa gerakan yang boleh menjadi beban kepadanya atau boleh menjejaskan sokongan kepadanya.

Namun demikian, saya menilai tinggi peranan yang telah dimainkan oleh DAP di bawah pimpinan Sdr Lim Kit Siang untuk bersama-sama mempelopori kerjasama di antara parti-parti pembangkang untuk menentang BN. Sebagai pemimpin yang lebih lama daripada orang lain berkecimpung dalam arena politik di negeri ini, Kit Siang mengetahui bahawa BN tidak akan dapat dilawan secara berkesan, melainkan semua parti pembangkang bekerjasama.

Kita semua tahu bahawa asas kerjasama itu mesti kukuh. Jikalau satu-satu deklarasi atau manifesto disetujui, ia harus dipegang secara kukuh dan ikhlas oleh semua pihak. Sekiranya ada perbezaan pendapat, yang boleh berlaku walaupun di antara parti sahabat, ia harus dibincang secara dalaman dan melibatkan semua pihak dalam kerjasama itu. Secara ikhlas, dan tidak sama sekali bertujuan untuk menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak, saya merasakan perbezaan pandangan tentang Negara Islam, khususnya di antara PAS dan DAP, itu tidak cukup dibincangkan dalam BA, dan sepatutnya perbincangan itu melibatkan semua parti komponen dalam BA itu.

Sekarang DAP sudah berundur. Mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa BA telah menjadi lebih lemah. Dalam keadaan politik dunia yang berkembang selepas peristiwa 11 September, dan akibat kelemahan BA sekarang, Dr Mahathir dan BN yang dipimpinnya menjadi bertambah kuat. Beliau mendapat kepercayaan kebanyakan orang bukan Melayu/Islam.

Kini, dengan mengumumkan Malaysia sebagai Negara Islam, memperalatkan media bagi menyebar propaganda BN, memberi habuan kewangan kepada kakitangan kerajaan, menyekat ceramah serta akhbar alternatif dan menggunakan ISA, beliau cuba hendak meraih sokongan orang Melayu pula. Ada tanda-tanda beliau sedang berjaya. Keadaan hanya akan berubah sekiranya ekonomi negara meleset sehingga menjejaskan penghidupan rakyat jelata dan perpecahan dalam UMNO, MCA dan ketegangan dalam BN semakin genting.

Dalam keadaan ini, tidak boleh tidak semua parti di luar pemerintah hendaklah menggembleng tenaga dan menjalin kerjasama yang kukuh supaya dapat dilihat sebagai alternatif yang boleh tahan lama atau “viable”. Sekiranya BA tidak boleh dipulihkan semula, maka usaha yang gigih hendaklah dijalankan bagi menegak serta memupuk kerjasama dalam bentuk yang baru bagi menghadapi BN dalam pilihanraya akan datang secara bersama.

Kerjasama ini perlu dijalinkan bukan saja di antara BA yang ada sekarang dengan DAP, bahkan juga dengan parti-parti pembangkang yang lain di Sabah dan Sarawak. Perlu difikirkan juga kemungkinan membawa masuk beberapa parti politik yang sudah didaftar atau belum masih belum berdaftar lagi di Semenanjung, jikalau mereka menerima pendirian bersama yang perlu dibincangkan dan disetujui kelak.

Kit Siang telah menegaskan beliau sedia bekerjasama dengan BA, bahkan juga dengan BN, dalam isu-isu tertentu. Tentu lebih banyak isu yang DAP boleh bekerjasama dengan BA daripada BN. Sudah tentu juga DAP tidak akan bekerjasama dengan BN, selagi BN menjalankan dasar-dasar yang tidak adil serta tidak demokratik. Ini asas yang kuat bagi BA memulakan dialog dengan DAP untuk memikirkan bentuk kerjasama yang baru. Ini perlu segera dilakukan. KeADILan dan PRM harus merintis jalan ini.

20/11/2001






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 20 November 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com