- UNTUK PERINGATAN KITA BERSAMA -
ISU PENUTUPAN PASTI : PAS BUKAN “ABOVE THE LAW”
Arahan untuk menutup PASTI oleh JAIS sememangnya satu tindakan politik
yang
bertujuan untuk menyekat pengaruh PAS.
Walau bagaimanapun PAS sepatutnya lebih bijak dengan mencium bahawa
JAIS
akan melakukan sesuatu sebelum mereka benar-benar bertindak.
Sejak bulan Oktober lagi bangunan-bangunan baru bagi tadika-tadika
KEMAS
telah mula dibina di seluruh negeri Selangor. Padang-padang permainan
dan
kawasan-kawasan lanskap telah dikorbankan untuk membina
bangunan-bangunan
itu.
Jelas sekali kerajaan BN berhasrat untuk menutup PASTI dan menarik
masyarakat kepada tadika-tadika mereka. Persoalannya mengapakah pihak
yang
bertanggung-jawab tidak dapat membaca akan perancangan BN ini ?
Tetapi undang-undang di Malaysia adalah buatan manusia dan boleh dielak
tanpa dilanggar.
Kenapa tidak didaftarkan sahaja seperti tadika-tadika swasta yang
beribu-ribu wujud di negara kita ? Kenapa tidak dilakukan sebelum
arahan
dari JAIS itu ?
Ribuan pengusaha tadika-tadika swasta telah terpaksa mematuhi segala
peraturan yang ditetapkan oleh sama ada penguasa tempatan atau
pihak-pihak
yang berwajib agar tadika-tadika mereka dapat beroperasi.
Mereka terpaksa mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak
bomba
dan penguasa-penguasa tempatan agar tadika mereka diklasifikasikan
sebagai
selamat.
Mereka terpaksa membeli pemadam-pemadam api untuk digantung di
tadika-tadika
mereka. Malah terdapat yang melakukan pengubahsuaian seperti menambah
pintu
dan tangga tambahan.
Kesemua ini bukan di atas sebab-sebab politik tetapi di atas
sebab-sebab
keselamatan.
Maka natijahnya tidak ada pihak yang mempunyai sebab untuk menutup
tadika-tadika ini.
Jika tadika-tadika swasta perlu mematuhi peraturan maka mengapakah
PASTI-PASTI perlu dikecualikan ?
Hanyalah jika segala peraturan dan undang-undang telah dipatuhi tetapi
masih
ditolak pendaftarannya maka barulah boleh dikatakan kezaliman dan
penindasan
telah berlaku sepertimana ceramah-ceramah PAS di mana segala peraturan
telah
dipatuhi tetapi tetap tidak berikan permit.
Malang sekali terdapat di dalam PAS mereka yang menganggap kesemua
undang-undang dan peraturan di Malaysia ini sebagai undang-undang
taghut dan
tidak perlu dipatuhi. Malah ada yang begitu “extreme” sehingga
berpendapat
tidak perlu membayar cukai jalan.
Oleh itu adakah kerana ianya program Parti maka PASTI itu terkecuali
dari
undang-undang ? Adakah PAS “above the law” ?
Kalau begitu oleh kerana program-program ekonomi itu sebahagian dari
program
Parti maka tidak perlu lesen jika PAS hendak memulakan perniagaan.
Atau oleh kerana berdakwah itu sebahagian dari program Parti maka tidak
perlu lesen memandu untuk memandu ke mana-mana untuk pergi berdakwah.
Bunyinya macam lawak jenaka bukan ? Tetapi itulah pandangan umum
terutamanya
“orang-orang atas pagar” apabila PAS berkata mereka berhak membuka
PASTI
tanpa mematuhi arahan pihak berkuasa oleh kerana ianya salah satu dari
program Parti.
Mungkin saya dangkal berpolitik tetapi saya rasa ianya bukan satu imej
yang
baik bagi sebuah Parti yang berhasrat untuk memerintah dalam tahun
2004.
ISKANDAR A. SAMAD
iskandar_samad@hotmail.com