Sejak era pasca Datuk Asri, PAS di bawah kepimpinan
Ulama yang menaungi teraju kepimpinan tertinggi
sekarang berjaya memisahkan diri dari bayangan UMNO
kerana mereka membawa satu slogan baru ke arah
mewujudkan sebuah negara Islam berbanding sebelum itu
cuba berlawan dengan UMNO untuk membuktikan siapakah
yang lebih Melayu. Di tahun-tahun 80an sehingga
sekarang seolah-olah satu kemenangan dari sudut
semangat kepada PAS kerana akhirnya UMNO terpaksa
mengekori PAS dalam menunjukkan bahawa mereka lebih
Islam hatta ke peringkat sanggup mengisytiharkan
Malaysia sebagai negara Islam.
Pada awalnya, sekitar selepas kemenangan PAS di
Kelantan, timbullah isu Hudud yang mengejutkan semua
pihak terutamanya golongan bukan Islam akibat mainan
media sehingga mensensasikannya. Turut
mempopularkannya adalah perdana menteri sendiri
apabila beliau membuat pelbagai kenyataan berkenaan
Hudud seperti kenyataannya mempelawa sesiapa sahaja ke
Kelantan sekiranya teringin hendak menjamah sup tangan
yang dipercayai merujuk kepada perlaksanaan hukuman
potong tangan ke atas pesalah yang mencuri.
Ini sudah tentulah berjaya dari sudut perang saikologi
untuk mewujudkan suasana takut di kalangan kaum bukan
Islam bahkan golongan moderat Muslim. Sedangkan Hudud
itu hanyalah satu aspek kecil sahaja dalam Syariah
yang cukup meluas tetapi mauduk kecil yang sensasi
itulah paling seronok diperbesar-besarkan. Cara
perlaksanaannya yang begitu mendalam demi memastikan
keadilan dapat ditegakkan seperti menghadirkan empat
orang saksi yang beriman tidak ditonjolkan kerana ia
mungkin mampu mencabar kelemahan prosiding
undang-undang Lord Reid sekarang.
Apa yang menarik sekarang, jika dikaji PAS khususnya
presidennya cukup berhati-hati dalam bercakap isu ini
dengan tidak lagi memperbesarkan persoalan seperti
Hudud tetapi sebaliknya mengaitkan negara Islam
sebagai satu konsep yang selaras dengan nilai-nilai
kemanusiaan dan global seperti pentadbiran yang baik
(good governance), ketelusan dalam pemerintahan
(tranparency) dan juga pertanggungjawaban
(accountability). Ini satu perkembangan yang sihat ke
arah mempamerkan imej PAS yang lebih terbuka dan
liberal.
PAS sedar bahawa mereka tidak mampu membentuk kerajaan
pusat dengan sendiri walaupun menang semua kerusi
parlimen yang ditandinginya. Ini kerana jika kita
melihat pada pilihanraya yang lalu, PAS hanya
bertanding 64 daripada 193 jumlah kerusi. Untuk
memudahkan pindaan perlembagaan demi menyediakan ruang
sepenuhnya ke arah perlaksanaan Syariah, PAS
memerlukan sekurang-kurangnya 129 buah kerusi
parlimen. Ini menggambarkan peri pentingnya gabungan
Barisan Alternatif untuk mencapai jumlah kerusi
tersebut. Tetapi setelah DAP keluar dari pakatan
itupun, kita sudah nampak betapa goyahnya BA terutama
sekali tidak ada lagi usaha penerangan dasar-dasar PAS
terhadap masyarakat bukan Islam kerana selama ini
dapat diadakan melalui bantuan DAP sebagai orang
tengah dalam menghubungkan PAS dengan mereka.
PAS tersepit di antara memenuhi janji-janjinya
terhadap penyokong setianya dan mempamerkan imej yang
lebih liberal terhadap moderat Muslim dan bukan Islam.
Sekiranya terlampau mementingkan undi penyokong
‘hardcore’nya, mereka mesti menunjukkan bahawa mereka
adalah konsisten dan mempertahankan prinsip perjuangan
dan hasilnya paling tinggi pun hanyalah penguasaan di
beberapa buah negeri seperti Kelantan, Terengganu,
Kedah dan Perlis serta kemungkinan Pahang.
Tetapi penulis percaya, PAS mampu memuaskan hati
kedua-dua golongan pengundi dan bakal pengundinya
terutama selepas kehadiran golongan profesional yang
mencurah-curah ke dalam PAS serta kepimpinannya
baru-baru ini yang sama-sama dapat memikirkan jalan
teraik untuk mempertahankan prinsip negara Islamnya di
samping terus melebarkan pengaruhnya menjelang
pilihanraya 2004.
Abu Mujahed Abdullah Azzam
mpkangar_2004@yahoo.com