Nama parti USNO cukup sinonim dengan politik Sabah,
tapi akibat kemurahan hati para pemimpinnya mahu
membubarkan dan mengkuburkan USNO dengan bernisankan
dua keris tanpa sarung UMNO, akhirnya USNO tinggal
nama. Apakah PBS juga akan menerima nasib serupa,
setelah kembali ke dalam BN, mungkin tidak? Tapi
melihat kegemaran BN pimpinan Dr Mahathir membubarkan
parti-parti kompenannya di Sabah sudah ada bukti
bermula dengan USNO, kemudian Akar Bersatu dan lepas
ini mungkin PBS disyaratkan bubarkan dulu PBS untuk
diserapkan ke dalam UPKO nama lama parti politik di
Sabah yang diambil oleh parti pimpinan Tan Sri B.
Dompok, dari PDS kepada UPKO. Kita tunggu dan lihat,
akan berlaku seterusnya setelah PBS benar-benar
menjadi kerabat BN semula.
Berita tempatan dalam akhbar-akhbar di Sabah dalam
beberapa minggu ini memberikan fokus utama tentang
cerita PBS masuk BN semula, setelah bercerai sejak
tahun 1990 dulu. Dulu bercerai sekarang rujuk semula
adalah sebahagian dari proses alam manusia. Dan ia
suatu yang normal. Mungkin begitulah juga dalam bab
politik di Malaysia. Sepertilah keadaan parti DAP yang
telah bersama-sama BA beberapa tahun, secara tiba-tiba
DAP isytihar keluar daripada BA kononnya tidak
menjumpai jalan penyelesaian dalam isu 'negara Islam'.
Namun, DAP tetap menjadi pembangkang utama di
Malaysia, DAP tidak masuk BN, malah tidak pernah
bersekongkol dengan BN sejak dari wujudnya DAP.
Walaupun, mungkin ada terdapat kepimpinan besar DAP
pernah terlibat dengan parti-parti kompenan BN atau
mereka yang menjadi orang kuat BN sekarang. Itu
sebahagian perbezaan prinsip dan juga pembawaan
politik DAP dengan cara berpolitik PBS di Sabah.
Padahal kekuatan pengaruh PBS di Sabah masih ditahap
tinggi dan mantap. Melihat kepada hilangnya majoriti
PBS di DUN Sabah pada tahun 1994 dulu, sebenarnya PBS
bukan parti yang kalah. Tetapi hanya disebabkan
beberapa orang ADUN PBS yang tidak mempunyai prinsip
dan jati diri seorang pemimpin kerana bujukan atau
godaan pangkat dan material, itulah menyebabkan ADUN
PBS yang diketuai oleh Datuk Lajim Haji Okin melompat
ke dalam kem BN pada 1994 dan mengurangkan majoriti
PBS di DUN Sabah. Pada pilihanraya umum negeri terbaru
tahun 1999 pula, PBS memenangi 17 kerusi DUN dan
kompenan BN Sabah telah menguasai 31 kerusi DUN Sabah.
Tetapi banyak pemerhati politik Sabah, rakyat Sabah
dan juga kakitangan kerajaan sendiri mengakui bahawa
kemenangan BN tempoh hari bukanlah atas nama
kemenangan bersih dalam sebuah sistem demokrasi.
Kemenangan BN banyak dibantu oleh unsur-unsur tidak
sihat dalam proses demokrasi itu sendiri dalam
pilihanraya umum negeri tahun 1999 itu. Selain, isu
PTI dan warga asing dijadikan pengundi, pengunaan IC
palsu dan pelbagai lagi cara perlaksanaan proses
pilihanraya itu yang tidak melihatkan nilai demokrasi
sebenar.
PBS Sebenarnya Parti Pembangkang Kuat Di Sabah
Dengan kekuatan 17 ADUN dalam DUN Sabah, PBS mempunyai
masa depan politik di Sabah. Itu baru satu parti,
seandainya PBS boleh bergabung dengan parti-parti
pembangkang berpengaruh di Sabah ketika itu parti
Bersekutu, pimpinan Datuk Harris Salleh. Tidak
mustahil gabungan pembangkang di Sabah akan berkuasa
di Sabah ketika itu. Tetapi parti-parti politik di
Sabah adalah parti yang hanya hidup sewaktu
pilihanraya dan bergantung kepada penaja daripada
kalangan orang korporat atau orang politik elit sama
ada yang berpusat di Sabah atau di Kuala Lumpur yang
berada dibelakang tabir. Ertinya kewujudan mereka
tiada langsung kekuatan akar umbi itu. Berbeza dengan
parti PBS, kerana PBS mempunyai pengaruh akar umbi dan
kepimpinan negeri yang bertaraf nasional seperti
Presidennya Datuk Joseph Pairin, Dr Maximus Ongkili,
Raden Malleh dan lain-lain. Sekalipun PBS sentiasa
dilanda ombak politik disebabkan perangai orang
politik dalam PBS dua alam dan berminda 'katak', tidak
tahan uji, mengajar material dan pangkat serta
kedudukan dikalangan YB-YB PBS yang berlompatan
mencari tempat berlindung dalam kem BN Sabah. Namun,
PBS tetap wujud dan tidakpun terbubar. Sebab PBS masih
mempunyai kekuatan akar umbi dan kepimpinan
Presidennya yang masih tegak. Pendek kata, PBS adalah
parti tunggak dalam politik Sabah setelah ketiadaan
USNO, UPKO (dulu) dan Berjaya. PBS masih mempunyai
kekuatan tersendiri dalam politik Sabah. Kelainan ini
tidak dimiliki parti-parti lain dalam kompenan BN
Sabah sekarang. BN Sabah yang mengabungkan pelbagai
parti dari UMNO, SAPP, UPKO dan juga LDP hanya
bergantung pada kekuatan pengaruh BN pusat, wang
ringgit dalam mempengaruhi rakyat dan disamping
eksploitasi kuasa yang dimiliki BN ke atas rakyat,
jabatan kerajaan dan agensi-agensi lain dalam
kerajaan.
Mungkin PBS Terdesak Atau Didesak?
Kenapa tiba-tiba mahu rujuk semula ke dalam BN?.
Setelah cukup selesa berada diluar BN dengan kekuatan
tersendiri serta boleh menegur dan mengkritik lebih
terbuka terhadap segala kepincangan kepimpinan BN
Sabah dengan sistem penggiliran KM yang banyak
menimbulkan konflik dalaman BN dan menyusahkan rakyat,
selain menimbulkan kesukaran ekonomi serta pentadbiran
kerajaan negeri. Dan paling penting PBS adalah parti
tonggak di Sabah dengan reputasi dan prestasi sangat
stabil. Memang dari segi politik tindakan PBS itu
tidak salah. Bukan juga suatu yang haram dalam amalan
politik demokrasi. Tetapi dalam dunia politik abad
baru. Pemerhati, pengkritik politik dan rakyat Sabah
umumnya melihat tindakan PBS itu sebagai suatu
tindakan orang yang berada dalam keadaan terdesak atau
didesak. Atau seolah-olahnya PBS sudah kehilangan
prinsip serta jati diri dalam perjuangan politiknya
selama ini, sehingga sanggup berkompromi dengan musuh
politiknya iaitu BN Sabah.
Sebelum ini, kita mendengar ADUN-ADUN PBS yang
melompat ke dalam kem BN Sabah adalah dengan
sebab-sebab kehendak rakyat dan demi pembangunan. Kita
menyoalkan, apakah disebabkan satu-satu kerusi DUN itu
tidak dimenangi oleh calon BN kemajuan dan keperluan
rakyat kawasan tersebut akan diabaikan oleh pemerintah
yang kebetulan dipegang oleh parti kerajaan BN Sabah.
Apakah ahli-ahli politik di Sabah tidak terfikir
bahawa dalam sistem demokrasi kewujudan parti
pemerintah dan parti pembangkang itu adalah sebahagian
dari kerajaan atau sebahagian dari rakyat itu sendiri.
Bermaksud, adanya pembangkang dalam mana-mana DUN
sebenarnya merupakan rahmat kepada sistem demokrasi
itu demi melaksana tugas 'chek and balance' dalam
sesebuah kerajaan atau pemerintahan. Adalah mustahil
dalam sebuah kerajaan atau pemerintahan di dalam
sistem demokrasi tidak diperlukan parti pembangkang.
Malah cukup mustahil akan terhasil sebuah sistem
pemerintahan yang telus, amanah dan bertanggungjawab,
apabila hanya satu parti yang menguasai DUN dan
Parlimen. Kerana mereka merasa tidak ada orang yang
akan mengkritik mereka lagi. Apatah lagi dalam keadaan
kepimpinan BN sekarang yang sudah dilanda penyakit
gila 'kuasa', harta, pangkat, kedudukan, nama dan
kemewahan dunia yang melampau.
Naik saja pangkat sama ada dengan pangkat atau jawatan
sebagai KM atau MB atau wakil rakyat dalam kerajaan
yang dikuasai oleh BN/UMNO dan kroninya. Boleh dilihat
apakah perubahan mendadak yang paling ketara dalam
kehidupan atau peribadi seorang KM, MB dan wakil-wakil
rakyat yang berjenama BN/UMNO dan juga
sekutu-sekutunya. Kata orang belumpun lepas pantang
atau belumpun cukup umur setahun jagung, sudah
kelihatan kereta besar, rumah besar, longgokan harta
sana-sini. Inipun sudah jelas untuk menggambarkan
betapa amalan rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa
dan sebagainya telah tidak terkawal lagi dan seperti
penyakit kanser dalam sistem kerajaan yang dikuasai
oleh UMNO/BN.
Jadi, apakah kerana tuntutan-tuntutan material
bersifat duniawi inilah yang melilihkan liur
kepimpinan PBS untuk kembali semula ke alam BN yang
pernah mereka rasai dulu. Apakah kerana mengejar
pangkat kedudukan itu menjadi buruan kepimpinan PBS,
setelah tidak tahan menerima ujian ketiadaan pangkat,
projek, kedudukan dan sebagainya. Benarkah, kerana
menjadi YB PBS para pemimpin PBS menjadi miskin atau
papa kedana, sehingga menyebabkan mereka meminta para
perwakilan membuat keputusan sama ada PBS wajar rujuk
semula ke dalam BN atau tidak. Apakah tanpa masuk BN
masa depan politik PBS di Sabah akan malap. Atau
pemikiran para pemimpin masih lagi terbelenggu, bahawa
tanpa BN negara Malaysia dan negeri Sabah tidak boleh
maju. Pemikiran inilah seharusnya diketepikan dari
pemikiran para politikus Sabah. Kemajuan dan
pembangunan negara, negeri, rakyat dan di mana jua
bukan ditentukan oleh seorang dua manusia. Tetapi oleh
rakyat seluruhnya mempunyai peranan. Pembangunan atau
kemajuan tidak akan menjadi kenyataan tanpa
partisipasi rakyat seluruhnya. Seorang PM atau KM atau
MB yang berkuasa penuh tidak akan mampu membangun
negara atau negeri yang mereka menjadi ketua kerajaan
tanpa mendapat dari seluruh sendi-sendi yang membentuk
negara atau negeri itu. Maknanya sokongan, penyertaan
dan peranan rakyat seluruhnya amat penting bagi
pembangunan dan kemajuan masyarakat, negeri serta
negara.
Percayalah, Dr Mahathir atas namanya sebagai PM tidak
akan dapat memajukan Malaysia ini dengan hanya dia
duduk goyang kaki menekan punat suis dan komputer
dalam pejabatnya di Putrajaya itu. Sekiranya seluruh
rakyat Malaysia tidak memberikan sokongan dan
penyertaan dalam ertikata yang sebenarnya. Silap hari
bulan Mahathir sendiri akan menjadi orang gila dalam
mahligainya di Putrajaya. Konon dialah seorang yang
membawa kemajuan di Malaysia tanpa seorangpun rakyat
Malaysia berjumlah lebih 22 juta itu yang lain
terlibat dalam membangunkan negara. Dia mendabik dada
mengaku dialah seorang PM yang memajukan Malaysia.
Percayakah anda?
Siapa Untung PBS Diterima Semula Ke Dalam BN
Banyak andaian dan spekulasi yang boleh dibuat dalam
isu politik terbaru di Sabah. Bayangkan ulasan
kepimpinan UMNO/BN sendiri seperti orang mengantuk
disorongkan bantal. PBS seperti bertindak dalam
keadaan dan masa terbaik untuknya. Kenyataan akhbar
Setiausaha Agong PBS, Encik Raden Malleh, bahawa hari
ini (15.11.2001M) surat permohonan masuk semula ke
dalam BN akan diserah sendiri oleh Presiden PBS, Datuk
Joseph Pairin kepada Pengerusi BN di Kuala Lumpur.
Nampak benar kesungguhan PBS setelah mendapat mandat
atau mengambil kira pendapat daripada para perwakilan
partinya yang bersidang semasa Kongres PBS ke 16 di
Penampang, Sabah untuk merujuk semula ke dalam BN.
Setelah 11 tahun berada diluar BN, teringat juga PBS
kepada nikmat hidup bersama BN beberapa tahun sewaktu
berkuasa di Sabah sebagai parti utama.
Melihat situasi sekarang seperti PBS mendapat untung
itu dan UMNO/BN di Sabahpun lebih banyak untung,
kerana tidak perlu gusar lagi dengan kritikan dan
teguran berani yang memanaskan telainga kepimpinan BN
Sabah dalam DUN daripada ADUN-ADUN PBS selama sebagai
parti pembangkang utama di DUN Sabah. Sekiranya PBS
diterima dan menjadi kerabat BN semula, inilah pertama
kali Sabah menjadi negeri tanpa pembangkang. Sebab di
Sabah hanya PBS saja satu-satu parti pembangkang di
Sabah sekarang yang masih menang.
Yang jelas BN Sabah benar-benar mendapat untung besar
dari segi politiknya untuk menghadapi pilihanraya umum
negeri akan datang, kerana tidak perlu lagi berhadapan
dengan PBS yang menjadi saingan sengitnya setiap kali
pilihanraya di Sabah. Tetapi belum tentu, senario ini
benar-benar memberi impak lebih baik kepada gabungan
BN itu. Atas sebab antara kompenan BN Sabah selama
inipun mempunyai matlamat politik yang berbeza,
sekalipun mahu disembunyikan segala macam ambisi yang
masih tersirat di dalam kalbu masing-masing. Hanya
menunggu saat dan waktu sahaja untuk dinyatakan.
Itulah gambaran senario politik unik kompenan BN Sabah
sejak dulu.
Tapi parti KeADILan yang baru menapak di Sabah hampir
pasti mendapat sedikit sinar untuk terus muncul
menjadi parti pembangkang utama dan kuat di Sabah.
Malahan ada prospek untuk menerajui kerajaan negeri
pada pilihanraya umum negeri akan datang, seandainya
mereka mampu mengeksploitasi keadaan politik di Sabah
sekarang. Sudah tentu ramai ahli-ahli PBS yang tidak
merestui kemasukan semula PBS ke dalam BN akan beralih
arah untuk meneruskan perjuangan mereka. Dengan
mencari parti alternatif lain, dan dengan reputasi
serta prestasi baik yang ditunjukkan oleh KeADILan
Sabah dalam kemunculan sulongnya di pilihanraya DUN
Sabah di Lakis Julai lalu. Untuk itu, sehingga kini
hanya parti KeADILan Sabah satu-satunya parti
pembangkang yang boleh mengantikan tempat PBS yang
telahpun memohon masuk semula ke dalam BN yang pernah
dianggotainya.
Rakyat Sabah yang inginkan perubahan politik dan
kepimpinan negeri pada pilihanraya akan datang, tidak
harus kecewa dengan tindakan PBS itu. Dalam perjuangan
menegak kebenaran, keadilan dan membela nasib rakyat
yang semakin diperabaikan oleh UMNO/BN di Sabah.
Kehilangan PBS di barisan pembangkang, pasti akan ada
penggantinya, iaitu parti KeADILan Sabah akan muncul
sebagai penerus kepada perjuangan rakyat Sabah yang
masih belum selesai itu.
Kenapa PBS Masuk BN Semula
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kenapa PBS
merelakan diri mereka 'menjilat kembali ludah'
sendiri. Selain faktor politik itu sendiri, pemerhati
politik melihat ada yang tersirat daripada yang sudah
tersurat. Keadaan politik di Sabah cukup baik untuk
PBS sebagai satu-satunya parti pembangkang yang kuat
dan mempunyai pengaruh tersendiri setelah terbubar
serta terkuburnya USNO. Apakah kepimpinan PBS sedia
ada tidak berkeyakinan lagi untuk meneruskan prinsip
perjuangan mereka selama ini. Apakah kepimpinan PBS
masuk BN semata-mata hendak mengejar kedudukan,
pangkat, kemewahan dan kebendaan atau projek. Atau
kerana mereka tidak tahan uji menempuh ujian sebagai
parti pembangkang yang tidak punya apa-apa kuasa dari
segi mengatur apa-apa jua projek seperti yang
dinikmati atau mengkayakan YB-YB BN sekarang. Di
Sabah, ada orang kata mahu kaya masuk BN, mahu jadi YB
masuk BN, mahu dapat projek masuk BN dan inilah lagu
orang Sabah. Seolahnya rezeki itu BN yang punya bukan
anugerah Allah.
Satu lagi kemungkinan kenapa sebenarnya PBS mahu masuk
semula BN, bukan bersama-sama BA bagi menumbangkan BN
Sabah. Sedangkan KeADILan Sabah memerlukan rakan dari
parti pembangkang sedia kuat di Sabah seperti PBS.
Penulis yakin PBS melihat keadaan positif itu apabila
PBS dan KeADILan boleh membentuk gabungan pembangkang
Sabah untuk mencabar BN seterusnya menguasai kerajaan
negeri Sabah pada pilihanraya umum negeri akan datang.
Tetapi PBS seperti juga DAP. DAP nampak lebih
realistik dan matang menilai kehendak perubahan semasa
politik Malaysia untuk bersama dalam BA yang dipimpin
oleh PAS. Sekalipun sejak dulu DAP tidak sehaluan
dengan PAS. Mungkin bagi PBS dengan kepimpinan utama
parti itu berlatar belakangkan rata-rata mereka yang
beragama Kristian, demi untuk menjaga akar umbi parti
PBS yang kuat didokong oleh majoriti penganut
Kristian. PBS mengambil jalan pintas untuk rujuk
semula kepada BN. Isu 'negara Islam' yang menjadi
ideologi perjuangan PAS sangat tidak serasi dengan
diri mereka. Kerana itu, bagi PBS lebih baik masuk
saja BN daripada bersama KeADILan Sabah, lantaran
KeADILan adalah kerabat kepada BA di peringkat pusat
dan juga di negeri Sabah.
Ini juga berpunca daripada sikap politus Sabah yang
phobia dengan isu 'negara Islam' yang menjadi bahan
politik UMNO/BN untuk memecahbelahkan gabungan
pembangkang. Satu lagi, punca kenapa PBS masuk semula
BN, ialah pengalaman lama dalam sejarah politik Sabah
dulu. Pertembungan mengapikan emosi atau sentimen
'agama' cukup kuat dikalangan kepimpinan politik Sabah
antara USNO pimpinan Tun Mustapha dengan UPKO pimpinan
Tun Fuad dulu. Inilah akibat daripada ketidakfahaman
dikalangan politikus Sabah terhadap pembawaan isu-isu
agama seperti ini demi meraih keuntungan politik
sempit dalam masyarakat majmuk sejak sekian lama. Isu
agama, kaum dan bangsa semata-mata dilihat sebagai
umpan politik bagi menaikkan emosi penyokong supaya
menyokong mereka. Padahal mana-mana agama tujuannya
adalah untuk kebaikan manusia atau penganutnya, bukan
untuk berkonfrantasi sesama rakyat, bukan juga untuk
menonjolkan sentimen agama secara buta tuli dan bukan
menjadikan agama sebagai tembok yang memisahkan antara
rakyat yang berbeza agama, budaya, tradisi, kaum dan
juga bangsa.
Inilah akibat daripada kesan pembawaan pemikiran dan
budaya politik yang ditanamkan oleh BN sebegitu lama
ke dalam benak dan jiwa rakyat Malaysia, sejak
berpuluhan tahun. Adalah teramat sukar untuk membuang
karat daki perkauman, sentimen agama buta tuli dan
propaganda politik murahan yang menjadi mainan UMNO/BN
selama ini, persis kerja-kerja penjajah zaman dulu
yang memecahbelahkan rakyat yang mereka jajah agar
mudah mereka terus berkuasa. Itulah formula politik
UMNO/BN yang diwarisi daripada penjajahan dulu.
Akhirnya, hanya satu harapan rakyat Sabah kepada PBS
masuklah ke dalam BN, tapi jangan menjadi 'ayam mati'
atau 'kerbau dicucuk hidung' dengan mengiyakan apa
sahaja keputusan BN hatta dalam perkara yang
menyusahkan rakyat, negeri dan negara. Asalkan orang
besar UMNO/BN dan sekutu mereka selamat dan aman
memperkosa segala sistem negara, demokrasi dan
kedaulatan rakyat negara ini. Pengalaman dulu sebagai
kerabat BN sudah mengajar PBS. Apakah kemasukan kali
kedua ini akan menambah kebaikan untuk rakyat atau
sekadar satu tindakan politik terdesak.
Ibn Sabah,
23.11.2001M.