Dalam tempoh seminggu dua ini terdapat banyak
peristiwa sedih dan sangat mendukacita rakyat
Malaysia. Dan menarik untuk diulas dan dibincangkan.
Antara yang penulis ingin kongsi bersama ialah
kesedihan di atas kemangkatan Yang Di Pertuan Agong,
kemudian mengharapkan penggantinya yang lebih
berwibawa, bukannya Agong yang berstatus 'pak turut'
kepada kemahuan penguasa politik elit rakus lagi tamak
kuasa yang dikepalai Mahathir and Kroni's. Perletakan
jawatan Peguam Negara, Datuk Ainum Mohd Saaid dan
terpilihnya Badut abad ke 21 Gani Patail sebagai
Peguam Negara Baru. Dan apa akan terjadi kepada sistem
kehakiman negara ini.
Mangkatnya Yang Di Pertuan Agong Malaysia Ke 11
Dengan kemangkatan Yang Di Pertuan Agong, Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 21 November, 2001M.
Kita kehilangan pemimpinan negara yang diperakui ramai
sebagai pemimpin dan raja yang berjiwa tawaduk dan
berjiwa rakyat. Mudah-mudahan Allah merahmati roh
Almarhum Seri Paduka dan ditempatkan bersama golongan
para solihin dan siddiqin. AL-FATIHAH... dan ucapan
Takziah kita rakamkan kepada Permaisuri Agong serta
sekalian kerabatnya.
Disebalik peristiwa sedih ini, tanda tanya siapa bakal
Yang Di Pertuan Agong selepas ini, apakah secara
automatik Timbalan Yang Di Pertuan Agong akan menjadi
pengganti. Rakyat menaruh harapan kebijaksanaan Majlis
Raja-raja Melayu untuk memutuskan. Juga diharapkan
Majlis Raja-raja Melayu tidak akan menjadi kumpulan
'kerbau dicucuk hidung' atau dibayangi oleh
penguasa/kumpulan elit politik UMNO/BN yang rakus itu.
Yang cuba mengatur keputusan yang boleh mereka
senangi. Institusi Raja jangan menjadi seperti
institusi kehakiman sekarang yang sudah hilang
wibawanya di mata rakyat. Kerana terlalu setia menjadi
kuda tunggangan kepada orang politik UMNO/BN
berketuakan Mahathir.
Siapa Bakal Agong Ke 12
Majlis Raja-raja Melayu yang akan menentukan, bukan
dengan telunjuk atau arahan penguasa politik elit.
Rakyat mengharapkan kedudukan Majlis Raja-raja Melayu
sebagai antara institusi tertinggi negara ini akan
melaksanakan amanah ini dengan kebijaksanaan, keilmuan
dan kewibawaan, bukannya dipengaruhi oleh mana-mana
pihak yang berkepentingan. Apatah lagi untuk merelakan
institusi raja diperkudakan oleh elit politik UMNO/BN
pimpinan Dr Mahathir yang rakus berkuasa dan selama
inipun telah terbukti usahanya merobek sedikit demi
sedikit sistem Raja Berperlembagaan kita.
Rakyat mengetahui bahawa Majlis Raja-raja Melayu yang
dianggotai oleh mereka yang memiliki pelbagai bidang,
latar belakang berbeza dan berkewibawaan untuk membuat
keputusan terbaik demi untuk negara Malaysia,
rakyatnya yang majmuk dan kemajuan negara. Slogan
'Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah'
diharap menjadi keutamaan kepimpinan Majlis Raja-raja
Melayu. Sama ada Timbalan Yang Di Pertuan Agong
sekarang akan diangkat atau ada lagi pilihan lain,
kita dan rakyat Malaysia mengharapkan biarlah yang
bakal terpilih itu Sultan atau Raja yang memiliki
segala kelebihan sebagai pemimpin tertinggi negara.
Bukan sekadar Raja atau Sultan penerima nasihat atau
tukang tandatangan keputusan penguasa politik elit
yang beragenda politik dan berhati rakus dengan kuasa
politik yang dimiliki.
Kisah Dan Iktibar Dari Datuk Ainum Mohd Saaid
Perletakan jawatan Peguam Negara, Datuk Ainum Mohd
Said secara cukup mengejutkan kita dan rakyat
Malaysia. Belumpun setahun jagung menjawatnya.
Tiba-tiba rebut merempuh, pasti ada cerita disebalik
yang tersurat itu. Ada hikmah dan iktibar untuk
dinilai oleh rakyat Malaysia. Perletakan jawatan ini
jelas cukup kontroversi, walaupun telah diketahui
sebahagian kecil rakyat melalui internet dalam laman
alternatif. Ketika peringkat awal perlantikan Datuk
Ainum menjadi Peguam Negara, harapan rakyat cukup
tinggi untuk melihat institusi kehakiman negara dapat
dipulihkan. Setelah jatuh teruk dibawah Datuk Mokhtar
Abdullah sebagai Peguam Negara yang dicucuk hidung
oleh penguasa politik elit di atas sana. Dengan
keupayaan, wibawa dan kebolehan Datuk Ainum sebagai
Peguam Negara, diperingkat awal perlantikannya dengan
harapan serta sanjungan, kenapa tiba-tiba timbul isu
perletakkan jawatannya. Apakah cerita lama terus
berulang lagi dalam sejarah institusi kehakiman negara
ini, sejak terpecatnya YA Ketua Hakim, Tun Salleh Abas
dan beberapa lagi YA Hakim pada tahun 1987an dulu.
Gani Patail Badut Adab Ini
Perlantikan Peguam Negara baru, dengan terangkatnya
Gani Patail dari seorang Pendakwaraya Kanan kepada
tugas Peguam Negara yang baru, yang akan berkuatkuasa
pada 1 Jan 2002, bukan saja kontroversi. Tetapi
sangat-sangat tidak ingini oleh sesiapa jua rakyat
Malaysia yang telah mengetahui latar belakang diri
Gani Patail selama ini. Semua orang tahu bagaimana
tidak profesionalnya dia sebagai seorang yang arif
tentang undang-undang sanggup menjadi orang suruhan
atau dengan istilah 'kerbau dicucuk hidung' oleh
penguasa tertinggi politik elit negara ini demi untuk
mensabitkan kesalahan ke atas musuh politik mereka,
tanpa langsung memedulikan nilai-nilai keadilan
sebenar. Padahal mereka lebih arif bahawa 'keadilan'
itu adalah jantung hati kepada undang-undang.
Jadi dengan terlantiknya Gani Patail sebagai Peguam
Negara, memang soal dia mendapat habuan dari kerja
jahatnya selama ini membantu PM untuk menzalimi DS
Anwar Ibrahim, itu hak peribadinya. TAPI, apakah dia
senang dengan menjadi Peguam Negara yang dicurigai dan
tidak langsung diyakini kebolehannya untuk
melaksanakan tugas maha berat ini. Dengan wibawa,
peribadinya dan juga keupayaannya yang sedia tercalar,
cacat dan berada ditahap reputasi amat rendah, adalah
mustahil Gani Patail boleh melonjakkan dirinya sebagai
yang terbaik, profesional dan berwibawa.
Gani Patail dengan jawatan barunya ini, dia patut
menolak jawatan itu kalau dia seorang ada harga diri.
Kerana ramai pengkritiknya, para pengamal
undang-undang hatta rakan-rakan atau sahabat karib
yang berhati telus, melihat dan yakin Gani Patail
tidak selayaknya berada diposisi Peguam Negara ini
sampai bila-bila, kecuali dia bertaubat dari
dosa-dosanya selama ini dan memohon maaf kepada semua
mereka yang pernah dizaliminya secara undang-undang
berat sebelah atau dia kembali bersikap telus,
profesional dan mendaulatkan undang-undang demi
menegakkan erti sebuah keadilan untuk semua, tanpa
pilih bulu.
Sistem Kehakiman Negara Akan Bertambah Teruk
Ekoran perlantikan Gani Patail menjadi Peguam Negara
baru, dengan kewibawaannya yang dipertikaikan, tidak
telus dan tidak bersikap profesional dalam
kerja-kerjanya sebagai pendakwaraya selama ini, adalah
sangat ditakuti petaka lebih dahsyat menimpa sistem
kehakiman negara akan berterusan, malah kita dapat
meramalkan bahawa sistem kehakiman negara ini TIDAK
AKAN BERTAMBAH BAIK, tidak juga dipandang berwibawa,
bahkan akan bertambah teruk teruk lagi. Kerana semua
rakyat tahu siapa Gani Patail sebenarnya dengan
peribadinya serta amalan pilih bulu, bersedia
bersekongkol dengan penguasa politik elit bagi
memperkosa segala undang-undang yang tidak memihak
kepada mereka dan pelbagai lagi amalan cukup tidak
adil dan tidak profesional yang terang-terangan
berlaku di depan mata rakyat yang terbuka mata hati
mereka.
Namun demikian, sebagai rakyat yang cintakan kebaikan,
keamanan, keadilan dan perpaduan. Marilah kita berdoa
di bulan Ramadhan al-Mubarak ini agar petaka tidak
akan terjadi di bumi Malaysia. Dan mereka yang
berkuasa tidak akan meneruskan niat jahat mereka
terhadap rakyat yang mahu mengamalkan demokrasi
berparlimen, hanya kerana untuk mencapai matlamat
politik sempit lagi zalim ke atas musuh politik
mereka. Mudah-mudahan mereka (penguasa elit politik)
yang rakus itu akan sedar dan kembali menyedari bahawa
Malaysia adalah negara demokrasi dengan sistem Raja
Berperlembagaan.
Ibn Sabah,
24.11.2001M.