Sebuah akhbar tempatan di Kota Kinabalu, Berita Sabah
keluaran terbaru 10-16 November, 2001 menyiarkan
berita bertajuk 'Musa Ganti Lajim?' di muka depan.
Menarik perhatian banyak pihak di negeri Di Bawah Bayu
itu. Walaupun ia sekadar spekulasi politik negeri
Sabah. Dan juga ramalan atau jangkaan tentang rombakan
kabinet negeri dibawah KM Sabah, Datuk Chong Kah Kiat
seperti yang dilaporkan oleh Berita Sabah. Penulis
sempat bertanya kepada wartawan Berita Sabah itu, dan
berita ini sedang menjadi bualan mulut ke mulut
kalangan mereka yang dekat dengan pemimpin BN
Sabah.Sehingga kini, belum ada satu kenyataan rasmi
dari pemimpin utama BN Sabah mahupun oleh KM Sabah,
Datuk Chong Kah Kiat sendiri.
Merombak Kabinet Negeri
Tugas mengatur orang bawahan adalah tanggungjawab
seorang ketua. Dan ketua yang baik serta berwibawa
pasti akan melunaskan tanggungjawab itu dengan
peraturan bukan ikut suka sendiri atau peraturan
sendirian berhad yang lebih banyak melihat keuntungan
diri, kroni dan kerabat. Apa lagi bagi sebuah kerajaan
negeri. KM adalah ketua kerajaan. Dia dilantikpun
mesti dengan peraturan atau mengikut Perlembagaan
Negeri, bukan main telunjuk saja. Ini termasuklah
dalam urusan merombak dan membentuk barisan kabinetnya
bukan ikut suka hati sendiri, kerana atas nama orang
besar yang berkuasa yang bergelar ketua kerajaan
negeri. Itulah teramat penting seorang KM itu mereka
yang benar-benar layak, mampu, berilmu, berwibawa,
berkarisma dan memiliki daya kepimpinan tersendiri.
Mereka tidak akan terikut-ikut kehendak spekulasi
media. Apa lagi untuk dia diperkudakan atau
dipengaruhi oleh orang lain yang mempunyai kepentingan
diri.
Kalau merombak jawatankuasa kampungpun bukan mudah,
inikan pula untuk merombak sebuah kabinet kerajaan
negeri. Rombakan bukan semata-mata atas desakan
politik, lebih penting untuk dijadi sebab dan diambil
kira dalam rombakan itu, ialah kepentingan rakyat dan
kerajaan negeri itu sendiri. Apakah rombakan jentera
kerajaan benar-benar diperlukan dalam masa terdekat
ini kerana demi untuk meningkatkan kecekapan jentera
kerajaan dan kepimpinan yang diamanahkan oleh rakyat.
Atau sekadar untuk 'tutup lubang' atau untuk menjaga
hati kawan dan kroni.
Apakah KM Sabah, Datuk Chong Kah Kiat akan mudah
terpengaruh oleh spekulasi dan polemik yang sengaja
memancing kepimpinan beliau sendiri. Setakat yang
penulis perhatikan selama memegang jawatan KM Sabah
beberapa bulan lalu, belumpun setahun menggantikan DSP
Osu Haji Sukam. Datuk Chong adalah seorang pemimpin
yang berwatakkan seorang yang berhati-hati, cermat dan
bukan seorang yang gelojoh, semborono dan cincai dalam
kepimpinannya. Sebagai contoh kenyataan-kenyataannya
dalam media yang berkaitan dengan hal-hal berkaitan
kepentingan awam, rakyat dan juga kerajaan negeri
sangat teliti dan meyakinkan. Dia tidak mengikut emosi
atau mudah cepat terpengaruh dengan persekitaran.
Itulah sebahagian dari gambaran kepimpinan Datuk Chong
yang menyenang dan meyakinkan rakyat pada pengamatan
serta pemerhatian penulis. Berbeza dengan kepimpinan
UMNO Sabah yang menganggap diri merekalah 'raja' yang
patut disembah apabila mendapat kuasa.
Tabiat Lama Pemimpin UMNO Sabah
Penyakit warisan atau tabiat lama yang dikategorikan
sebagai 'kurang baik' atau sikap 'negatif' sebahagian
besar kepimpinan UMNO pusat yang diketuai Dr Mahathir
benar-benar menjangkit ke dalam kem UMNO Sabah. Segala
macam jenis tabiat ada, seperti penyakit besar kepala,
besar diri, pengampu, kaki bodek, berklik-klik,
berebut pangkat, jawatan dan kedudukan, amalan rasuah,
tamak, suka berjanji, suka monopoli projek, suka
dipuji, ketagih sanjungan, terlibat dengan skandal,
salahlaku, menuding jari atau menganggap orang semua
salah, mengaku diri atau kumpulan sendiri saja betul,
terbaik dan banyak lagi.
UMNO Sabah selamanya akan menjadi parti tempat
pemimpin 'jadi-jadian', kumpulan kaki bodek, kaki
ampu, kepala besar, besar diri, penindas rakyat, rakus
kuasa, kaki rebut projek, pakar mengagihkan kekayaan
negara kepada kroni-kroni dan seterusnya.
Pemimpin-pemimpin sebegini adalah pemimpin umat di
akhir zaman yang akan membawa petaka kehancuran kepada
diri, bangsa dan negeri atau negara. Kerana mereka
bukan berwatak pemimpin sebenar, pemimpin yang
mengutamakan rakyat, kedaulatan rakyat, negeri dan
keselamatan rakyat serta negara. Teramat banyak contoh
tentang tindakan persekongkolan kepimpinan UMNO/BN di
Sabah khususnya dalam kerja-kerja mewarganegarakan PTI
atau warga asing hanya kerana untuk mendapatkan undi
dalam pilihanraya dengan cara memberikan PTI atau
warga asing IC, projek IC,taraf penduduk dan sendikit
pemalsuan IC warganegara demi untuk meraih kepentingan
politik kepartian secara cukup tidak bertanggungjawab.
Malah boleh mendedahkan negeri atau negara ini kepada
kwmusnahan bangsa Malaysia secara sedikit demi
sedikit.
Bayangkan apa akan jadi apabila berpuluh ribu, bahkan
ratusan ribu PTI atau warga asing diberikan taraf
warganegara secara sewenang-wenangnya tanpa mengikut
prosedur dan undang-undang negara. Bagi UMNO/BN di
Sabah sekadar berfikir semata-mata kuasa politik
jangka pendek untuk mereka senang membaham segala
harta, kekayaan negeri atau negara, merebut pangkat,
kedudukan dan kemewehan, kemudian diagih-agihkan
kepada kroni-kroni dan suku sakat. Manakala rakyat
terbanyak hanya mendapat serpihan-serpihan yang masih
sisa yang sudah tidak diperlukan. Itulah punca
perebutan kuasa sama ada dalam parti UMNO atau
perebutan jawatan-jawatan dalam kabinet kerajaan dan
lain-lain lagi. Isu perebutan jawatan, pangkat,
projek, kedudukan dan kebendaan dalam UMNO sudah
menjadi amalan sebati terutama UMNO/Mahathir. Mereka
sanggup aibkan rakan, jatuhkan kawan kerana itu mereka
tidak merasa rugi merasuah ahli-ahli UMNO, mereka
sanggup jumpa bomoh hatta membunuh sekalipun demi
untuk mendapatkan jawatan, pangkat dan material.
Andainya mereka buang ratusan ribu, mereka merasa rugi
apa. Kerana apabila menang mereka akan dapat lebih
daripada itu. Inilah gambaran sikap dan pemikiran
kepimpinan UMNO berkepalakan Dr Mahathir yang tak
sedar-sedar diri itu.
Perebutan Jawatan KM Sabah
Jawatan KM di Sabah sama dengan negeri lain, menjadi
idaman setiap orang ahli politik. Mahu jadi orang
besar negeri atau ketua kerajaan khususnya dikalangan
pemimpin UMNO di mana-mana negeri yang mereka kuasai.
Di Sabah, nasib UMNO sangat tidak baik. Menang saja
terpaksa bagi-bagi kuasa KM dua-dua tahun kepada
sekutunya yang lain dalam BN Sabah. Akibat
kebanggangan pengerusi mereka sendiri Dr Mahathir yang
bebal lagi tubal.
Masuk dua penggal BN berkuasa di Sabah, sudah ada tiga
KM dari UMNO Sabah pegang jawatan itu dua-dua tahun
bermula dari Tun Sakaran (sebelum diangkat jadi TYT),
kemudian diwarisi oleh Datuk Salleh Tun Said dan yang
terakhir DSP Osu Haji Sukam, sebelum penggiliran itu
jatuh ke tangan sekutunya LDP dengan Datuk Chong
selaku Presiden LDP telah ditunjuk oleh Mahathir
sebagai KM Sabah, bukan melalui keputusan BN negeri
setelah mendapat perkenan TYT Yang Di Pertua Negeri
Sabah. Ini peliknya undang-undang di zaman UMNO/BN
berkepalakan seorang tamak kuasa seperti Dr Mahathir.
Daulat raja pun dicabuli, undang-undang tertinggi
negeri dan negara juga dilanggar, yang penting
kemahuan nafsu politik serakahnya tercapai.
Penyakit itulah juga menjangkiti sebahagian besar
kepimpinan UMNO Sabah. Rebut-merebut jawatan, pangkat,
kedudukan dan projek sudah menjadi mainan hidup. Apa
lagi jawatan KM, jawatan tempat lubuk atau pusat
segala kuasa dalam kerajaan negeri. Siapa yang dapat
dia ibarat raja. Ini bagi mereka yang berjiwa besar
tapi kosong diri dengan kewibawaan, keilmuan dan sifat
tawaduk. Bukan melihat jawatan KM itu sebagai amanah
maha besar dan berat. Pemimpin yang mengerti tentang
nilai amanah, ketelusan, pahala dan dosa akan tahu apa
itu amanah dan kewajiban sebagai seorang bernama
'pemimpin' atas namanya Ketua Menteri. Perkara
sebeginilah selalu dilupakan oleh pimpinan UMNO/BN
Sabah. Yang mereka ingat dan zikirkan dalam hati bila
dapat jawatan besar ialah berapa RM aku dapat, berapa
projek aku punya, berapa komesin aku dapat, berapa
pula untuk kawan, kroni dan suku sakat aku dapat dan
berapa kereta, rumah dan isteri...Rakyat belakang
cerita. Bila ada sisanya baru untuk rakyat. Dan masa
agih-agihkan untuk rakyat ialah dekat atau musim
kempen pilihanraya. Itulah agenda kepimpinan UMNO
Sabah. Sebab itu mereka berebut jawatan KM Sabah
seperti ikan bedukang berebut tahi di air. Palis-palis
minta dijauhkan pemimpin berminda ikan bedukang itu.
Siapa Yang Akan Dapat Jawatan KM Sabah Selepas Ini?
Siapalah bakal KM seterusnya dari kem UMNO Sabah dalam
sistem bergilir-gilir itu, apakah kemungkinan DSP Osu
Sukam naik semula, mungkin juga Datuk Salleh Tun Said,
mungkin juga Datuk Lajim Haji Okin, mungkin dari
keluarga Si Aman sama ada Musa Aman atau Hanifah Aman?
Dalam senarai lima sahabat yang berlainan mimpi itu,
walaupun mereka serumah. Nampak-nampak Datuk Musa Aman
adalah senarai utama dengan jawatannya sebagai
Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, kemudian diekori
oleh Datuk Lajim Okin atas kedudukannya sebagai
Timbalan Ketua Menteri sekarang. Tiga yang lain Osu,
Salleh dan Hanifah, sukar untuk diramal semula. Osu
dan Salleh kedua-dua adalah mantan KM dalam sistem
penggiliran itu. Walaupun mereka belum merasa
sepenuhnya jawatan KM Sabah kerana hanya sekadar 2
tahun, tapi sudah puas merasai segala kelebihan kuasa
sebagai KM boleh atur projek itu ini, boleh luluskan
itu ini dan boleh macam-macam boleh...Andai diserahkan
semula mustahil mereka menolak. Itulah dasar pemimpin
berminda 'bedukang'.
Datuk Hanifah bolehkah dia menggapai cita-citanya
untuk jadi KM. Mungkin boleh bersandarkan kepada
kedudukannya sekarang sebagai Timbalan Menteri di
peringkat Persekutuan dengan syarat pandai membodek PM
di Putrajaya, dekati Aziz Samsudin, mereka yang akrab
dengan PM dan jadilah tukang bodek nombor satu kepada
Mahathir. Dengan syarat Hanifah mesti melepasi dulu
anak tangga menteri penuh di persekutuan macam Datuk
Osu Sukam dulu, sebelum jadi KM adalah seorang menteri
penuh di peringkat Persekutuan, itupun setelah puas
mengemis dan mengipas kaki-kaki bodek PM, selain
mendapat rekomen kuat dari kroni akrab PM Datuk Seri
Megat Junid. Kenapa tiba-tiba nama Hanifah naik untuk
merebut jawatan KM Sabah, mungkin spekulasi ini hanya
berlegar di sekitar kawasan UMNO Bahagian Beaufort
kawasan Parlimen yang diwakilinya. Cerita ini penulis
dengar semasa keributan perebutan jawatan dalam
pemilihan UMNO baru-baru lalu, bahawa seorang AJK
Bahagian telah membisikkan kepada penulis betapa
Hanifah mempunyai ambisi besar mahu jadi KM Sabah pada
satu hari.
Dan satu lagi, kenapa Hanifah beria-ia betul mahu jadi
KM. Mungkin kerana dia beranggapan sudah punyai
pengaruh besar, kekayaan dan geng yang boleh menaikkan
dirinya. Umpamanya, dia mungkin merasakan dengan
kekayaan yang dimilikinya dia boleh membeli undi dan
sokongan bagi memanjat kerusi KM Sabah. Tapi harus
diingat kekayaan bukanlah segala-galanya, mungkin
orang lapar dan miskin boleh digula-gulakan dengan
kekayaan atau kebendaan, namun belum tentu semua yang
miskin dan lapar itu bersedia memakan sesuatu yang
haram sekalipun dihidang di depan mata mereka. Rakyat
tidak semua bodoh untuk menerima apa saja sogokan
pemimpin yang bersifat tamak, rakus dan gelojoh. Yang
pasti rakyat yang celik, terbuka mata, hati dan
berilmu lebih bijak menilai antara intan dengan kaca.
Demikianlah, riuh-rendah 'dalam diam' kem UMNO Sabah
masing-masing para pemimpinnya sudah memasang
angan-angan besar untuk memanjat kerusi KM Sabah pada
masa akan datang. Itupun sekiranya BN Sabah yang bakal
mendapat rakan baru dengan kemasukan PBS semula ke
dalam BN, masih mampukah BN Sabah bertahan dalam
pilihanraya umum negeri akan datang. Tradisi atau
lazimnya politik di Sabah, parti yang berkuasa selama
2 penggal akan berakhir dan diganti dengan parti baru.
USNO/Perikatan, Berjaya/BN tumbang diakhir penggal
kuasa mereka selama dua penggal. Kecuali PBS, seingat
penulis PBS tidak kalah sejak menang 1985 hingga 1994.
Tapi disebabkan ADUN-ADUN PBS yang melompat ke dalam
BN pada tahun 1994 PBS dengan sendirinya kekurangan
majoriti dalam DUN Sabah dan mengundur dari tampuk
kuasa kerajaan negeri secara terpaksa. PBS hanya kalah
kepada BN pada pilihanraya umum negeri tahun 1999,
tapi masih kuat sebagai pembangkang dalam DUN Sabah
dengan 17 ADUN sebelum yang lain berlompatan.
Apapun, rakyat Sabah hanya mengharapkan KM Sabah
seterusnya biarlah mereka yang memiliki wibawa seorang
pemimpin negeri, bukan pemimpin 'kerbau dicucuk
hidung' bukan juga yang berminda 'katak', bukan
berminda 'bedukang' dan bukan juga pemimpin yang
berminda tengkuyuh. Kita mahukan yang terbaik, amanah,
telus, tawaduk, bijak, berilmu, berjiwa rakyat dan
sederhana. Bukan pemimpin yang besar diri, angkuh dan
sombong dengan jawatan atau kuasa dalam tangan.
Ibn Sabah,
27.11.2001M.