Sekular atau dalam bahasa arabnya dipanggil "al-'Ilmaniyyah" diambil dari
perkataan ilmu (dalam bahasa arab = 'ain, lam dan mim). Kononnya dari segi
mafhum, ia bermaksud mengangkat martabat ilmu, jadi ia tidak bercanggah dengan
mafhum Islam yang juga menjadikan ilmu sebagai satu perkara penting bagi
manusia dan menyeru kepada ilmu sejak wahyu pertama lagi TETAPI sebenarnya
penterjemahan kalimah sekular kepada "al-'Ilmaniyyah" hanyalah satu tipu daya
dan berselindung di sebalik slogan ilmu. Sebenarnya kalau diperhatikan makna
tersirat bagi sekular ialah "al-Ladiniyyah" yakni tanpa agama atau
"al-La'aqidah" yakni tanpa akidah. Tokoh pemikir Islam Prof. Dr. Yusuf
al-Qaradhawi pernah menyebut perkara ini di dalam penulisannya tentang
sekularisme.
Istilah "al-'Ilmaniyyah" dipilih untuk mengabui mata umat Islam agar
menerimanya kerana jika digunakan istilah "al-Ladiniyyah" atau "al-La'aqidah",
sudah pasti umat Islam akan menolaknya. Sebab itulah kita merasakan betapa
jahatnya penterjemahan sekular kepada istilah "al-'Ilmaniyyah" dengan tujuan
mengabui mata dan betapa jahatnya golongan ini yang ingin menutup perbuatan
mereka tanpa diketahui oleh kebanyakan orang. Bagi anak didik sistem sekular,
mereka tidak segan silu menerima dan bermati-matian mendokongnya kerana mereka
memang telah diprogramkan untuk menyebarkan fahaman sekularisme. Namun bagi
ulama-ulama Islam yang faham hakikat sebenar makna Islam, mereka
bermati-matian pula menentang penyebaran fahaman ini yang jelas bertentangan
dengan hakikat Islam. Jadi sudah tentu berlaku satu pertembungan antara
pendokong sekularisme dan ulama-ulama Islam dalam mempertahankan "hakikat"
masing-masing.
(SEKULARISME ANTARA TIMUR DAN BARAT)
Tidak menghairankan jika fahaman sekularisme mendapat tempat di barat. Ini
berpunca dari pengongkongan gereja dan tindakannya menyekat pintu pemikiran
dan penemuan sains. Ia bertindak ganas lagi dengan menguasai akal dan hati
manusia, dengan erti kata lain segala keputusan adalah di tangan pihak gereja
dengan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari pengikutnya dengan cara
yang salah.
Eropah pernah tenggelam dengan darah mangsa-mangsa pihak gereja apabila
ratusan malah ribuan orang mati di dalam penjara dan di tali gantung. Dengan
sebab ini berlakulah pertembungan antara gereja dan sains yang akhirnya
tertegaklah fahaman sekularisme yang bererti "memisahkan agama (kristian) dari
negara". Suasana kacau bilau dalam agama kritian hasil penyelewengan yang
berlaku dalamnya (-ia berpunca dari perancangan yahudi-) memungkinkan
tertegaknya fahaman sekularisme di samping agama kristian yang sedia ada.
Sekularisme disebarkan untuk keluar dari kepompong gereja yang begitu teruk
mengongkong pengikutnya. Masyarakat Eropah tertekan dan dizalimi di bawah
pemerintahan gereja. Bagi pejuang sekular, mereka menganggap dengan berada di
bawah kuasa gereja mereka tidak akan mencapai kemajuan. Sebab itulah mereka
memutuskan tali ikatan diri mereka dengan gereja dan menjadi orang yang
beragama kristian hanya pada nama tidak pada pengamalan agama.
Sekularisme adalah suatu kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa
urusan keagamaan atau ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan dengan
urusan negara, politik dan pentadbiran. Ringkasnya sekularisme adalah satu
fahaman yang memisahkan antara urusan agama dan kehidupan dunia seperti
politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Yang jelas menurut
faham sekular, soal bernegara, berpolitik, berekonomi dan sebagainya tidak ada
kaitan dengan soal agama atau gereja.
Apabila fahaman sekularisme ingin dipindakan dari barat ke timur, golongan
ini tidak menyedari (secara sengaja atau tidak) suasana di timur yang
berpegang kuat dengan agama Islam. Sudah pasti ia tidak sekali-kali merelakan
pemisahan agama (Islam) dari negara. Keadaan dalam Islam tidak sama dengan apa
yang terjadi dalam kristian di mana sepanjang sejarah Islam tidak ada
penzaliman terhadap penganutnya. Begitu juga Islam tidak membenarkan pemisahan
agama (Islam) dari negara kerana negara mengikut fiqh Islam ialah sebahagian
dari agama bukannya satu perkara yang berasingan. Dalam Islam, tidak mungkin
tertegaknya agama (dengan sempurna) tanpa negara (yang boleh menguatkuasakan
undang-undang agama) dan tidak mungkin tertegaknya negara (tanpa kacau bilau)
jika tidak ada agama (yang boleh memandunya).
Al-Syahid Hasan al-Banna dalam "Majmu'ah Rasa'il" menegaskan bahawa Islam
merupakan sistem sempurna yang merangkumi urusan kehidupan manusia semuanya.
Ia merangkumi negara, kerajaan, rakyat, akidah, syariat, akhlak, ekonomi,
keadilan, undang-undang, ilmu, jihad, dakwah, tentera dan lain-lain. Pendek
kata tidak ada perkara yang dibiarkan melainkan Islam merangkuminya. Al-Quran
sendiri telah menggariskan beberapa dasar umum untuk umat Islam dalam memandu
kehidupan mereka. Sebagai contoh dalam bidang akidah (lihat surah Al-Imran
ayat 19), bidang ibadat (lihat surah Al-Baqarah ayat 43), bidang sosial (lihat
surah Al-Baqarah ayat 188), bidang politik (lihat surah Saba' ayat 15), bidang
undang-undang perlembagaan (lihat surah Al-Nisa' ayat 59) dan juga
bidang-bidang yang lain.
Islam tidak sekali-kali membenarkan penyebaran fahaman sekularisme di
sampingnya dengan membahagikan tugas antara keduanya iaitu, Islam hanya
berfungsi di dalam urusan akidah dan sekularisme pula berfungsi di dalam
urusan syariat. Perkara ini tidak mungkin terjadi kerana Islam merupakan satu
agama yang terkandung di dalamnya akidah dan syariat sekaligus dan ia tidak
membenarkan pemisahan ini dilakukan seperti mana Islam tidak membenarkan
tuhan-tuhan lain ditaati dalam bidang syariah seperti ditaatinya Allah dalam
bidang akidah. Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang
diredhainya hanyalah Islam yang suci. FirmanNya yang bermaksud, "Sesungguhnya
al-Din (agama) yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam", surah Al-Imran
ayat 19.
Jadi untuk menyamakan Islam dengan agama kristian dan percubaan memasukkan
fahaman sekular ke dalam Islam adalah satu kesilapan dan jenayah yang besar.
Islam tidak seperti kristian kerana Islam datang dari Pencipta manusia iaitu
Allah s.w.t, ia selamat dari cacat cela. Kristian pada asalnya agama tauhid
tetapi telah diselewengkan oleh paderi-paderi untuk kepentingan mereka.
Sekularisme bukan berasal dari Islam dan Islam berlepas tangan dari fahaman
kufur ini dan tidak ada kena mengena dengannya. Sesiapa sahaja daripada umat
Islam yang mengagungkan sekularisme iaitu dengan menganggap untuk maju tidak
perlu beramal dengan Islam maka boleh membahayakan akidahnya.
Sekularisme bukan hanya sekadar berpandangan politik suku agama suku tetapi
dengan menyempitkan ruang lingkup agama, itu juga termasuk dalam sekularisme
seperti beramal dengan Islam secara separuh. Apa yang memberi keuntungan dan
kemudahan diterima pakai manakala yang mendatangkan kesusahan ditolak tepi.
Sebab itulah perbuatan ini ditempelak oleh Allah melalui firmanNya surah
al-Baqarah ayat 85, maksudnya : "adakah kamu percaya (beriman) kepada
sebahagian kandungan Kitab (al-Quran) dan ingkar akan sebahagiannya?
Sebaliknya Allah memerintahkan agar menerima Islam secara keseluruhannya
melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, "wahai orang-orang
yang beriman, masuklah kamu ke dalam keseluruhannya".
(CARA-CARA PENYEBARAN SEKULARISME)
Semenjak penjajah barat meletakkan kaki mereka ke bumi umat Islam, mereka
berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan fahaman sekularisme ini melalui
pelbagai cara. Dengan keupayaan ilmu dan teknologi yang dimiliki serta
pengalaman, mereka berjaya melaksanakannya. Cara-cara penyebaran fahaman
sekularisme ini dilaksanakanan melalui bidang pendidikan, media massa dan
undang-undang. Tujuannya hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari agamanya.
(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI PENDIDIKAN)
Antaranya ialah :
1. Menyekat pengajian agama Islam secara material dan moral.
i. Sekatan secara material dilakukan dengan membuka pintu seluas mungkin
kepada pengajian yang kosong dari ruh agama Islam (pengajian yang jauh dari
penekanan agama). Pengajian sebegini akan dibantu dan dibangunkan serta diberi
kemudahan dari segi material. Adapun pengajian agama Islam disempitkan bantuan
kewangan ataupun tidak dibantu lansung. Sebarang bantuan lebih dicurahkan
kepada pengajian sekularisme.
ii. Sekatan secara moral ialah dengan memperlekehkan golongan penuntut agama
dan tuan-tuan guru mereka. Membeza-bezakan antara guru-guru agama dan
guru-guru subjek lain dalam setiap keadaan memang satu perkara yang
disengajakan. Begitu juga membeza-bezakan antara lepasan bidang agama dan
lepasan bidang-bidang lain. Dari segi jawatan pula, lepasan bidang agama tidak
banyak mendapat peluang disamping ganjaran dan status yang dipandang rendah
tetapi bagi lepasan bidang-bidang lain agak mudah mendapat peluang dengan
habuan dan status yang lumayan. Mereka ini akan tenggelam dalam
"ketidaksedaran" dan akan menyebabkan orang ramai tidak kira tua muda akan
lari dari agama dengan terpahat satu sikap dalam minda mereka iaitu "jika kita
memilih bidang agama ianya tidak akan ke mana dan tidak akan menjamin hidup",
maka dengan itu mereka lebih cenderung kepada pengajian bidang bukan agama.
Bukanlah bermaksud di sini umat Islam tidak boleh mempelajari ilmu-ilmu
selain dari ilmu Islam. Malah sebenarnya tidak ada istilah ilmu "bukan Islam",
seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga merupakan ilmu Islam.
Yang menjadi persoalannya ialah umat Islam telah diabaikan dari segi penekanan
ilmu agama yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka. Tidak salah seorang
muslim itu menjadi doktor, tetapi biarlah dia menjadi doktor yang ada asas
didikan Islam. Juga tidak salah seorang muslim itu menjadi jurutera, tetapi
biarlah menjadi jurutera yang ada asas didikan Islam.
2. Menghantar pelajar Islam ke negara-negara bukan Islam untuk belajar. Misi
penghantaran ini akan membuahkan hasilnya yang memang dinanti-nantikan iaitu
pelajar itu bertambah jahil dengan agama, nilai serta adat yang baik dan akan
menyebabkan pelajar itu tertarik dengan budaya barat. Di samping itu, akan
tertanam dalam diri pelajar itu tabiat (kelakuan) yang menyeleweng dari ajaran
Islam. Dengan berlalunya masa, tabiat menyeleweng ini akan menjadi sebati
dengan diri pelajar itu dan dia akan mempraktikkannya dalam kehidupannya
sehinggakan dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain
tabiat yang buruk. Dia akan menjadi lebih barat daripada orang-orang barat
sendiri.
3. Melonggarkan sukatan pengajian agama atas nama kemajuan akademik. Residen
Britain di Mesir Lord Krumer semasa penjajahan Britain ke atas Mesir telah
melaung-laungkan slogan pembaharuan dalam Universiti al-Azhar dengan
memasukkan subjek sivil dalam sukatan pengajiannya. Percampuran ini
menyebabkan pelajar lemah dalam menguasai ilmu agama. Beberapa sukatan
pelajaran juga telah dibuang atau dikurangkan seperti subjek yang berkaitan
jihad menyebabkan ruh jihad telah hilang dalam diri pelajar Islam. Pelonggaran
sukatan pengajian agama berlaku di seluruh negara Islam dengan tujuan untuk
melemahkan pelajar-pelajar Islam.
4. Bercambahnya institusi pengajian asing di negara Islam bagai cendawan
tumbuh selepas hujan. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan umat Islam dari agama
mereka atau sekurang-kurangnya menyelewengkan akidah mereka. Paling kurang
kesannya ialah menghina bahasa arab (bahasa umat Islam) dan mengagungkan
bahasa asing. Penghinaan bahasa arab sebenarnya menghinakan agama Islam itu
sendiri. Ini berlaku di negara-negara arab.
5. Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran lelaki dan perempuan
ketika pengajian. Mereka (golongan sekular) memulakannya di negara-negara
Islam dengan mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia sebenarnya
menyalakan lagi obor nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu dapat
mematangkan pemikiran tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca
tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat percampuran yang tidak dikawal.
Ilmu sains membuktikan percampuran sebegini akan membawa kepada 2 keadaan :
i. Samada ia akan membekukan nafsu seks antara 2 jantina, dengan erti kata
lain, lelaki tidak lagi bernafsu kepada wanita secara tabii tetapi lebih
bernafsu kepada kaum sejenis (satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah s.w.t).
Penyakit ini semakin menular di negara-negara barat dan juga Amerika Syarikat.
ii. Ataupun ia akan meransangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah
dijalankan dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam
satu sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama
sehinggalah sampai masa "keinginan", anak kucing itu telah membunuh anak tikus
dan memakannnya walapun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar serta makan dan
minum dari bekas yang sama. Anak kucing itu tidak lagi menaruh sifat kasihan
walaupun agak lama "berdamping" dengan anak tikus itu. Begitulah diibaratkan
dengan percampuran pelajar dengan sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama
kelamaan akan membawa ke arah masalah sosial. Realiti yang berlaku di
negara-negara Islam adalah bukti yang nyata betapa teruknya masalah sosial
yang berlaku.
(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI MEDIA MASSA)
Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan pelajar, tetapi
sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang menonton, mendengar
dan membacanya melalui program-program yang disediakan. Setiap perkataan atau
tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik dengan izin Allah.
Manakala perkataan atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah yang
jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan untuk mengangkat martabat,
peribadi, maruah dan minda seseorang atau ia juga boleh berperanan untuk
menjatuhkan martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang.
Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio, wayang gambar, teater,
akhbar, majalah dan lain-lain media massa tidak banyak yang membantu
perkembangan nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda dan
pengamalan dengan akhlak Islam. Jikalau adapun, ia hanya seperti tangkap muat
dan pemanis mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan-rancangan televisyen yang
menyiarkan gambar separuh bogel atau "tidak sempat memakai baju dan seluar"
banyak disiarkan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam terutamanya golongan muda
mudi. Sepatutnya media massa itu menjadi "mimbar dakwah" yang menyeru kepada
kebaikan dan menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan fitnah dan
kilang kerosakan sosial masyarakat. Itulah kerja sekularisme yang berusaha
menjauhkan umat Islam dari agamanya.
(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI UNDANG-UNDANG)
Golongan sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan Islam dari
"kuasa" pemerintahan. Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam tidak
dirujuk walau dalam apahal sekalipun sehinggakan Islam kelihatan tinggal
rangkanya sahaja. Ia terjadi di kebanyakan negara Islam. Di Turki contohnya,
untuk menjauhkan manusia dari Islam, mereka berusaha mensekularkan
undang-undang sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang Turki menjadi
sekular dan terlerainya undang-undang khilafah Islam. Di Mesir "pengsekularan"
undang-undang dilakukan ketika penjajahan Inggeris dengan mewajibkan merujuk
kepada undang-undang barat secara umumnya dan undang-undang Perancis secara
khususnya.
Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah kawin (ahwal
al-Syakhsiah) atau yang berkait dengan adat kerana ia tidak menggugat
kedudukan penjajah. Umat Islam boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan
mereka tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan
pemerintahan negara, jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah. Ini
adalah perancangan jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin
melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh pasti akan menerima tekanan
hebat dari pihak barat atau dari golongan sekular dalam negara itu sendiri.
Ini adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh golongan sekular untuk
memesongkan umat Islam dari beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul.
Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti menganggap sekular itu adalah
kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar bahawa ketika dia menerima dan
mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan tali dirinya dengan
Islam yang dianutinya. Umat Islam perlulah sedar perancangan-perancangan
golongan sekular ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam perangkap yang akan
merugikan mereka di dunia dan akhirat.
Islam dan sekularisme tidak akan dapat disatu dan disebatikan kerana
kedua-duanya adalah berbeza. Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum
menghembuskan nafasnya yang terakhir sempat berkata :
"sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak tetapi
pertembungan hanya berlaku antara hak dan yang batil".
Maka umat islam perlulah mengikut yang hak (kebenaran) dengan menurut segala
perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk mengetahui
yang hak dan yang batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah
dilakukan oleh ulama-ulama yang pakar lagi ikhlas. Tidak ada jalan selamat di
akhirat melainkan menerima seratus peratus ajaran Islam yang sebenarnya
mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Disediakan oleh :
IRWAN BIN MOHD SUBRI
UKM, BANGI.
atkeens@usa.net
(P/S : artikel ini dipetik dan diubah suai dari buku "Mauqif al-Islam Min
al-Tayyarat Wa al-Mazahib al-Mu'asharah" karangan Prof. Dr. Taha Abd al-Salam
Khudhair dan Prof. Dr. Hasan Muharram al-Sayyid al-Huwaini, pensyarah jabatan
akidah dan falsafah, kuliah Usuluddin Universiti al-Azhar Mesir).
..................................................................
1 Januari 2002