GUGUR ANAK... DIMANA SIFAT KEMANUSIAN ?
Oleh Nadzri Eunos
SETENGAHNYA masih merah darah dan sebahagian lagi telah bertukar
kepada merah birat akibat telah beberapa hari terperap dalam rumah
mayat.
Suatu yang pasti, setiap beg plastik mengandungi sekujur tubuh kecil
terkulai layu berlumuran darah. Nama ibu, nombor kad pengenalan
dan tarikh pengguguran tertera pada kad hijau yang disertakan
bersama 16 janin yang berusia antara dua minggu dengan enam bulan.
Air mengalir merah apabila janin dimandikan bersama urinya sebelum
dikafan, disembahyangkan (gambar sisipan) dan kemudian
dikebumikan dalam dua liang kubur di Pusara Abadi dekat Lim Chu Kang.
Suasana menyayat hati
di bilik mandi mayat Masjid Pusara Aman dapat dilihat setiap minggu.
Kesemua janin Melayu/Islam itu baru saja diambil pegawai Persatuan
Derma Amanah Muslimin
(MTFA) dari tiga buah hospital setempat. Hospital Wanita dan
Kanak-kanak Kandang Kerbau (KKH),
Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Universiti Nasional
(NUH).
Janin-janin itu tidak dituntut oleh ibu yang mengandungkan mereka
selepas menjalani pengguguran di hospital-hospital tersebut.