Oleh Najibah Hassan
PERASAAN cemas, panik dan diselubungi ketakutan mungkin antara pengalaman yang pernah anda alami semasa berdepan dengan ahli keluarga atau individu yang diserang penyakit jantung secara tiba-tiba.
Dalam keadaan begini, tiada lain yang terlintas dalam fikiran kita melainkan menghubungi ambulans atau klinik terdekat bagi menyelamatkan nyawa si pesakit.
Persoalannya, mampukah semua ini dilakukan dalam tempoh 10 minit bagi mengelakkan berlakunya sebarang komplikasi ke atas si pesakit?
Pakar Perunding dan Ketua Perubatan Kecemasan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Azhar Abdul Aziz berkata, sebarang kelewatan dalam menangani masalah ini boleh mengakibatkan kematian mengejut.
Menurut beliau, individu yang pengsan akibat terkena serangan jantung (cardiac arrest) memerlukan rawatan kecemasan dalam jangka masa 10 minit kerana denyutan jantung akan mati jika tiada sebarang rawatan diberi dalam tempoh itu.
``Jika lebih daripada 10 minit, peluang resusitasi agak tipis dan risiko pesakit mati secara mengejut adalah tinggi,'' katanya.
Kematian secara mengejut akibat serangan jantung ini biasanya berlaku di luar hospital seperti di rumah, pejabat atau di tempat-tempat awam.
Langkah terbaik untuk membantu pesakit yang mendapat serangan jantung ialah dengan kaedah CPR dan dilakukan oleh orang yang terlatih dalam Automated External Defibrillation (AED).
Serangan penyakit jantung merupakan penyakit yang paling kerap berlaku terutama di negara-negara maju seperti di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Di AS sahaja, dianggarkan sebanyak 25,000 kematian akibat serangan jantung dicatatkan setiap tahun.
Antara ancaman yang boleh mengakibatkan kematian secara mengejut ialah sejenis ritma jantung yang tidak normal yang dikenali Ventricular Fibrilation (VF).
``Keadaan ini mengakibatkan darah tidak dapat disalurkan ke seluruh tubuh, sekali gus menyebabkan individu terbabit pengsan.
``Jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan, pesakit akan meninggal dunia,'' kata Dr. Azhar.
VF diertikan sebagai sejenis penyakit ritma jantung yang abnormal dan paling kerap berlaku selepas serangan penyakit jantung.
Selain berfungsi mengepam darah untuk disalurkan ke seluruh tubuh, jantung mempunyai fungsi lain iaitu sebagai impulse elektrik.
Sel-sel jantung merupakan komponen yang cukup istimewa kerana apabila adanya saraf yang memberi rangsangan, impulse elektrik ini akan terbentuk.
Dr. Azhar berkata, meskipun terdapat pelbagai jenis keabnormalan ritma jantung, VF merupakan jenis yang paling berbahaya tetapi masih boleh dirawat dengan memberi kejutan elektrik yang dikenali sebagai defibrillation.
Di negara ini, kata Dr. Azhar, sistem ambulans yang tidak begitu efisien dan kesibukan lalu lintas menyukarkan proses membawa pesakit ke hospital.
Bagaimanapun, masalah ini sedikit sebanyak dapat diatasi jika mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit jantung mempelajari teknik CPR.
Selain itu alat AED perlu diletakkan di tempat-tempat awam bagi memudahkan ia digunakan apabila berlaku kes kecemasan.
``Isteri, suami atau ahli keluarga kepada pesakit yang menghidap penyakit jantung digalakkan mempelajari teknik CPR,'' katanya.
Ini kerana CPR dapat membantu menyelamatkan nyawa individu terbabit sementara menunggu ambulans atau doktor datang memberi rawatan.
Dr. Azhar menambah, buat masa ini harga alat AED yang agak mahal menyebabkan penggunaannya agak terhad di hospital-hospital dan klinik saja.
Sehubungan itu, pelbagai usaha sedang dijalankan bagi memudahkan pembekalan alat AED dalam ambulans-ambulans dan tempat-tempat awam.
Tambah beliau, doktor sedaya upaya akan memastikan pesakit yang mendapat serangan jantung dibawa ke hospital meskipun kadar kejayaan agak kurang.
Diagnosis
Apabila seseorang terkena serangan jantung gejala-gejalanya ialah:
- Sakit dada yang amat sangat dan sakit yang terlalu kuat hingga rasa mencekik
- Sesak nafas
- Loya
- Muntah
- Berpeluh-peluh
- Tercungap-cungap hingga kadangkala tidak boleh bercakap. Dalam banyak keadaan pesakit terpaksa menekan dada kerana sakit yang amat sangat
- Pada peringkat akhir pesakit akan pengsan.
Apa yang harus dilakukan?
Langkah pertama yang harus dilakukan ialah:
- Mengenal pasti tahap kesedaran pesakit dengan memanggil atau menggerakkan tubuhnya
- Memeriksa bahagian ruang pernafasan pesakit dengan memastikan tiada benda asing dalam rongga udara
- Jika terdapat sesuatu seperti sisa makanan, keluarkan benda asing tersebut
- Rasa pernafasannya dengan mendengar atau merasa di depan mukanya
- Sekiranya pesakit tidak bernafas dan kebiasaannya tiada nadi jantung, lakukan CPR dengan meniup udara ke dalam mulut, memicit hidung dan pengaliran darahnya, menekan dada untuk mengepam jantung pesakit bagi membolehkan mereka bernafas.
Di Eropah dan AS, peralatan seumpama itu diletakkan di lapangan terbang, pasar raya dan tempat-tempat awam.
Jika dahulu, hanya pengamal perubatan yang boleh menggunakan peralatan itu untuk membantu pesakit.
Namun dengan kecanggihan alat itu yang dicipta secara automatik atau separa automatik, penggunaan semakin meluas di kalangan mereka yang bukan pengamal perubatan.
Trend pada masa kini telah membolehkan pasukan penyelamat yang terdiri daripada ahli bomba, polis dan kakitangan penerbangan dilatih menggunakan peralatan AED.
Menyedari hakikat ini, HUKM mengambil langkah awal dengan menganjurkan program-program latihan berhubung rawatan kecemasan teknikal.
``Orang awam akan diajar cara menggunakan AED dengan syarat ia digunakan dengan baik dan betul,'' kata Dr. Azhar.
Malah, jika dilihat dari aspek perundangan, penyalahgunaan alat AED di kalangan orang awam juga amat rendah kerana ia telah terbukti berjaya membantu menyelamatkan beberapa nyawa pesakit.
Menurut Dr. Azhar, antara punca serangan jantung ialah banyak tekanan, kurang bersenam dan pemakanan yang tidak seimbang.
Sebarang pertanyaan drcyber :
arrijal@putera.com
.......................................................
14 Jun 2001