'CABARAN' kini dalam pasaran

Laman Cabaran : http://cabaran.daily.tripod.com/

KOTA BHARU: Sebuah lagi akhbar tabloid politik semasa, CABARAN, dilancarkan semula setelah lebih setahun menyepi. Akhbar yang beribupejabat di sini lebih menumpukan liputan kepada isu-isu semasa, khususnya berkaitan dengan pergolakan politik tanahair.

Dalam wajah baru, CABARAN menjadikan isu muka depannya, bagi keluaran 10 Jun 2001, mengenai debat olok-olok antara PAS dan Umno, dalam isu takfir (mengkafir). Ia dirakamkan di Putrajaya, tetapi entah bagaimana debat olok-olok yang dijalankan di depan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad tersebar luas, bermula pada muktamar PAS yang lalu.

CABARAN juga membuat liputan khas mengenai persidangan parti Islam itu, di samping menyiarkan gambar-gambar menarik tentang protes rakyat terhadap tahanan ISA. Wawancara panjang dengan Tuan Guru Menteri Besar Terengganu, tokoh no.7 paling berpengaruh di Asia juga disiarkan.

Meskipun masih baru di pasaran, tetapi difahamkan sambutannya cukup baik sekali. Namun ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh sidang editorialnya.

Kandungannya dikatakan agak mirip dengan akhbar-akhbar tidak berkala yang diterbitkan golongan pro-reformasi. Justeru, CABARAN, harus mempelbagaikan rencam isinya supaya lebih menarik minat pembaca yang sebahagiannya tidak begitu gemar kandungan akhbar yang seratus peratus politik. Ruangan baru yang tidak ada kaitan dengan pergolakan politik tanahair harus diwujudkan.

Jika tidak, ia dilihat cuba memberikan alternatif kepada pembaca Harakah sahaja, sedangkan sasaran pembaca harus lebih meluas dan menyeluruh.

Apa pun, CABARAN dikira dapat mengisi kekosongan yang begitu ketara dalam pasaran sekarang. Sekurang-kurangnya pembaca ada pilihan untuk mengetahui perkembangan di sekitar mereka dari akhbar yang sah, maknanya, yang ada permit penerbitan, sedangkan sebelum ini akhbar-akhbar politik pro-BA diterbitkan tanpa keizinan pemerintah.

............................................
14 Jun 2001


Lain-lain Terbitan :

  • Umno Sedang Uzur SIAPA GANTI MAHATHIR?
  • Buku Dedah Tembelang Astora Jabat Diterbitkan



    * Ingin iklan terbitan anda, sila emailkan maklumat terbitan anda. Paling baik jika boleh hantar cover dan contoh artikalnya sekali.